Thursday, November 16, 2006

Pernahkah Anda bayangkan bila pada saat kita berdoa, kita mendengar ini:

"Terima kasih, Anda telah menghubungi Baitullah".

"Tekan 1 untuk 'meminta'.
Tekan 2 untuk 'mengucap syukur'.
Tekan 3 untuk 'mengeluh'.
Tekan 4 untuk 'permintaan lainnya'."

Atau....

Bagaimana jika Malaikat memohon maaf seperti ini:

"Saat ini semua malaikat sedang membantu pelanggan lain. Tetaplah sabar menunggu. Panggilan Anda akan dijawab berdasarkan urutannya."

Atau, bisakah Anda bayangkan bila pada saat berdoa, Anda mendapat respons seperti ini:

"Jika Anda ingin berbicara dengan Malaikat,
Tekan 1. Dengan Malaikat Mikail,
Tekan 2. Dengan malaikat lainnya,
Tekan 3. Jika Anda ingin mendengar sari tilawah saat Anda menunggu,
Tekan 4. "Untuk jawaban pertanyaan tentang hakekat surga & neraka, silahkan tunggu sampai Anda tiba di sini!!"

Atau bisa juga Anda mendengar ini :

"Komputer kami menunjukkan bahwa Anda telah satu kali menelpon hari ini. Silakan mencoba kembali esok hari."

atau...

"Kantor ini ditutup pada akhir minggu. Silakan menelpon kembali hari Senin setelah pukul 9 pagi."

Alhamdulillah... Allah SWT mengasihi kita, Anda dapat menelpon-Nya setiap saat!!!

Anda hanya perlu untuk memanggilnya kapan saja dan Dia mendengar Anda. Karena bila memanggil Allah, Anda tidak akan pernah mendapat nada sibuk. Allah menerima setiap panggilan dan mengetahui siapa pemanggilnya secara pribadi.

Saturday, November 04, 2006

Di Mana Damai Desa

"Apa yang kamu menungkan?", abang saya bertanya.

"Kosong. Sengaja Rizal kosongkan fikiran", saya membalas lesu.

Renungan saya di anjung rumah, lepas entah ke mana.

Walaupun Bandar Ipoh, mengesot-esot mengejar pembangunan semasa, kampung halaman saya tetap berjaya mengekalkan suasana kampungnya yang asli. Tanah masih subur. Bau rumput masih membangkitkan kesegaran jiwa saya. Tambahan pula dalam seminggu dua ini, hujan sentiasa membasahkan petang Syawwal. Bunyi hujan yang turun menyimbah atap zink rumah, dengan kokokan ayam mencari teduh, sungguh mententeramkan jiwa.

Aidilfitri ini saya puas. Isteri dan anak-anak ada di sisi. Bonda pula masih sihat dan rendang ayamnya masih yang pertama. Adik-beradik pulang semuanya. Ia menyembuhkan kejanggalan perasaan saya, selepas 11 tahun menempuh Aidilfitri di bumi asing. Tempoh yang cukup panjang. Dan saya hampir terlupa erti Aidilfitri mengikut makna negeri sendiri.

Saya sepatutnya gembira dan ceria kerana syarat-syarat kegembiraan itu ada. Ramadan ditempuh seadanya. Syawwal pula menjelma dalam rukun-rukun dan syarat-syarat yang sempurna.

Tetapi kenapa air muka saya masih sedih? Saya cuba untuk tersenyum tetapi cermin diri masih mempamerkan raut yang hambar.

Saya tidak berniat melukiskan wajah itu di Syawwal ini. Tetapi sudah beberapa orang ahli keluarga saya yang bertanya.

"Kenapa sedih?", tanya isteri saya.

"Apa yang tidak kena?", soal abang saya.

"Ada masalah?", ipar duai saya menduga.

Entah, saya sendiri puas mencari punca. Meneliti satu persatu kotak fikiran dan perasaan. Apa lagi yang tidak kena?

Saya duduk di tangga rumah. Bermuhasabah mencari penjelasan.

Saya amati betul-betul keindahan desa, di mana cacat celanya? Jauh di hujung perhatian, saya tersentak kerana apa yang saya sangkakan indah itu rupa-rupanya tiada warna. Rumput yang sama, ayam yang sama. Tetapi semuanya kelabu tidak berwarna. Desa ini indah, tetapi serinya tiada.

Tawar dan hambar.

Desa tetap indah. Tetapi anak desa sudah berubah. Itulah kedukaan saya.

CERITA 1

Petang tadi, anak-anak saya dan sepupu-sepupunya terkejut kerana letupan mercun. Ada budak yang membaling mercun bola ke bawah rumah kami, ketika anak-anak kecil sedang nyenyak lena di petang Syawwal.

Darah saya panas.

Selang beberapa minit, sebiji lagi mercun dibaling dan kali ini saya hilang sabar. Saya menerpa ke tingkap dan kelihatan tiga anak muda yang sepatutnya sudah melepasi usia aqil dan baligh. Mereka tersengih kepuasan.

"Baling sebiji lagi!", saya mencabar mereka. Demi Allah seumur hidup saya, tidak pernah saya menengking sesiapa dari tingkap rumah. Jiran-jiran pun ada yang terkejut. Inilah kali pertama saya meninggikan suara sedemikian gaya.

Remaja bertiga itu berpaling angkuh. Mereka mengayuh basikal sambil ketawa.

"Jangan dimarah sangat budak-budak tu. Mak takut", kata bonda.

Saya sedar apa yang bonda maksudkan. Saya hanya balik ke kampung sekali sekala. Tetapi bonda yang bakal menghadapi kesan kemarahan saya. Jika ada anak-anak remaja kampung saya yang ditegur, rumah kami akan menjadi mangsa. Mereka akan mematahkan pokok bunga, menabur rokok di bawah rumah, malah mencuri minyak tanah yang bonda simpan di gerobok usang dapur.

Emak selalu ketakutan.

CERITA 2

Beberapa hari sebelum raya saya ke kedai membeli kamera. Semasa saya sedang mengisi borang warranty, seorang lelaki Melayu datang ke kaunter di sebelah saya bersama isteri dan anaknya.

"Saya mahu model yang itu.Coolpix L1", katanya sambil menunjuk kepada kamera yang baru saya beli.

"Maaf encik. Model itu sudah habis. Tinggal satu sahaja", kata jurujual berbangsa Cina itu.

"Bagi saya yang itu laaa!", kata lelaki itu.

Saya tergamam. Biadap sungguh lelaki ini.

"Ini kamera saya. Saya sudah membelinya", saya mengeraskan suara sambil berpaling kepadanya.

Lelaki itu diam membatu. Dia beralih ke kaunter yang lain.

Benarkah apa yang saya saksikan ini? Tidak terlintas di fikiran saya Melayu, yang sebiadap itu.

CERITA 3

Saya mencapai himpunan majalah yang ada di atas almari. Majalah I sukar ditemui di Ipoh. Hanya majalah fesyen yang mudah dibeli. Ketika membelek Majalah Jelita Februari 2006, saya tergamam ketika membaca kenyataan yang dibuat oleh seorang gadis bertudung, tentang pendidikan seks. Katanya,

Seks Tidak Semestinya Selepas Berkahwin!?

"Ketika usia 14 tahun. Ibu bapa pada zaman ini lebih bersikap terbuka dalam membincangkan hal ini, berbeza dengan zaman dahulu. Namun begitu, saya lebih selesa bercakap mengenainya bersama teman lelaki dan teman rapat. Bagi saya seks tidak semestinya selepas berkahwin. Ianya bergantung kepada individu. Mungkin ada yang cuba mencari keserasian dengan pasangan melalui hubungan seks" - S*** *** ***, 22.

Seks tidak semestinya selepas berkahwin? Idea siapakah ini? Janganlah disebut Islam yang diperlambangkan oleh beliau melalui tudungnya. Cukup ditanya, Melayu mana yang berfikiran begitu? Apakah sistem nilai kita sudah berubah hingga ke tahap itu? Nama dipampang, wajah ditera, bersama kenyataan yang amat memperlekehkan Allah dan syariat-Nya.

Tiada selindung, tiada malu atau segan. Apa sudah terjadi?

Saya berulang kali membaca kenyataan gadis itu. Takut tersalah faham. Tetapi itulah yang dipaparkan. Dan Aidilfitri saya makin tidak ceria.

CERITA 4

"Kamu semua ni, tak sembahyang Jumaat ke?", bonda sudah hilang sabar.

Rumah saya terletak di sebelah masjid. Semenjak beberapa tahun ini, generasi Melayu baru semakin bertambah. Mereka datang ke masjid, mungkin kerana dihalau ibu bapa di rumah. Tetapi mereka tidak bersembahyang. Mereka duduk di tangga rumah saya, di bawah rumah dan di atas buaian. Kulit pisang, bungkusan nasi lemak, puntung rokok dan
bungkusan minuman penuh bertaburan di keliling rumah.

Mereka tidak peduli langsung teguran bonda saya. Malah dibalas pula dengan jelingan tajam seperti mengugut penuh dendam.

Terbongkok-bongkoklah bonda sendirian di waktu petang, membersihkan halaman. Anak desa itu sudah hilang budi bahasa. Lumpuh agama...

Mengapa anak desa begitu?

20 TAHUN YANG LALU

Saya juga adalah sebahagian mereka. Kumpulan kami besar. Sekali turun ke padang bermain galah panjang di waktu petang, atau membakar mercun di waktu malam, memang tidak dinafikan ada di antara kami yang `nakal'.

Tetapi nakal kami nakal yang bukan jahat. Tidak biadap dan masih tahu batas susila. Tidak sekali-kali kami menyanggah teguran orang tua.Tetapi hari ini kenakalan itu semacam jauh berbeza. Marah orang tua dibalas ketawa. Nasihat jiran tetangga dibalas maki dan nista.

Budak-budak yang kurang ajar itu, jangan ditegur di depan ibu bapa mereka. Silap-silap, kita pula yang dihamun carut olehnya.

"Engkau jangan nak mengajar aku pula! Jaga anak kamu. Jangan sibuk menegur anak orang lain!", antara dialog yang pernah saya dengar kebelakangan ini di kampung.

Eh, itu bukan bahasa desa. Di desa tiada anak sendiri, tiada anak orang. Orang tua bebas menegur anak-anak desa bahawa kesemua mereka dianggap seperti zuriat sendiri. Di mana hilangnya semua itu?

Desa tinggal desa. Walaupun rumput masih hijau, namun budayanya sudah kuning malah kelabu dan kelam. Apalah ertinya keindahan desa, kalau siang malam jiran tetangga mengeluh kehilangan barang. Jika dulu, paling buruk pun hanya telur ayam dan durian. Hari ini, basikal, gril rumah, besi penutup lubang tandas, motorsikal, malah rumah diceroboh terutamanya yang milik wanita tua kematian suami.

Allah, inikah damai desa yang mahu dibangga?

Saya terus mengelamun di anak tangga. Darah panas, sepanas air mata yang bergenang memikirkan bala ini.

CERITA 5: MALAS MELAYAN TETAMU

Sedih saya di hari raya, bertambah pula apabila saya mengamati budaya melayan tetamu di kalangan generasi muda.

Sedikit sebanyak hari-hari saya di Turki masih hangat di ingatan. Di sana, melayan tetamu adalah sebesar-besar kewajipan hablun minannaas. Setiap tetamu dimuliakan, walaupun yang datang adalah insan tidak bernama.

Tetapi di Aidilfitri desa ini, mengapa ibu bapa sahaja yang menyambut mesra? Saya tidak dapat menerima ketika ada saudara mara yang berkunjung, anak-anak muda masih menatap kaca televisyen.

Tetamu itu bukan jenis tetamu tidak diundang. Mereka bukan orang asing. Ibu saudara, bapa saudara, datuk saudara sebelah emak, adik beradik semoyang. Mereka itu darah daging belaka. Tetapi kenapa generasi muda berat mulut mahu bermesra? Lebih selesa berkurung di bilik, lebih terhormat meniarap mengadap televisyen?

Adat bersoreh sudah dilupakan. Tiada siapa lagi yang sudi mengambil tahu tentang hubungan sesama saudara mara. Mati emak, mati bapak, hilanglah selama-lamanya hubungan dan tali saudara. Tiada siapa lagi yang tahu siapa aku siapa kamu. Pernah berjumpa tetapi entah di mana.

Inilah generasi Melayu baru, di Aidilfitri 1427H.

Dan saya hilang kata-kata, tenggelam dalam keaiban melihat diri sendiri. Bahawa inilah realiti hari ini. Bangsaku sudah cemar, sudah tiada budi tiada pekerti.

Di mana lagi saya mampu mencari gembira di hari raya?

Agama diadatkan. Adat ditinggalkan. Yang tersohor hanya hedonisma dan televisyen. Busuk sungguh rupa agama yang diadatkan, dan ibadat yang dipestakan.

Apakah bangsaku ini sedang menyiapkan diri untuk layak menjadi penyaksi Kiamat? Generasi yang akan membuktikan kegerunan tanda-tanda akhir zaman?

Ampunkan hamba-Mu yang menggenggam bara Islam di akhir umur dunia ini, Ameen ya Rabb!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com