Monday, August 07, 2006

KdBA2.1: Kemanisan di Indiana

Indiana merupakan satu tempat yang kaya dengan jagung. Kami selalu membeli jagung di Walmart, lima biji jagung untuk sedollar. Paling sedap jagung in apabila dibakar. Mmmm .. memang manis bangat!!



Tapi entah kenapa, kini bilamana saja saya melihat jagung saya selalu teringatkan tentang semangat saya semasa muda untuk menuntut ilmu minhaaj ul-hayaah (the knowledge of the way of life).

Di universiti dulu pada setiap minggu, hari Jumaat merupakan hari yang paling dinanti oleh saya, rakan-rakan saya, Waheed, Mahbub Majumder, Tarek Zeni dan Sarosh Arunkumar. Bukan kerana hari tersebut adalah hari terakhir kelas untuk minggu itu, tapi kerana sekejap lagi pada setiap Jumaat kami akan pergi ke Indianapolis. Usai sahaja kelas lebih kurang jam 5.30 petang, kami akan bergegas ke Islamic Center of Greater Lafayette, solat asar dan menaiki kereta untuk ke Islamic Center of Indianapolis.

Perjalanan dari Lafayette ke Indianapolis memakan masa selama sejam. Lebuhraya di antara kedua bandar tersebut dipenuhi dengan hutan dan ladang-ladang jagung. Dalam perjalanan kami akan diskusi tajuk-tajuk yang berkaitan dengan kehidupan, kepercayaan dan fiqh.
Sesampai sahaja di Islamic Center kami akan solat maghrib dan kemudian terus mendengar kuliah seerah dari seorang shaykh dari Maghribi. Beliau pernah berguru dengan Shaykh Syed Ramadhan Al-Buti (penulis buku Fiqh us-Sirah yang banyak menjadi rujukan usrah di Malaysia). Memang cara kupasan beliau cukup menyentuh hati dan menyegarkan.

Mungkin kerana itulah, setiap kali saya melihat jagung saya akan teringat akan kemanisan jagung Indiana. Dan setiap kali terbayang akan kemanisan jagung Indiana, hati saya akan berbisik, kemanisan menuntut ilmu minhaj ul-hayaah di Indiana pasti berganda manisnya.

"Dan di dalam diri manusia ada suatu kekosongan yang tidak akan dapat diisi dan tidak akan dapat dipenuhi kecuali dengan mengingati Allah".


No comments: