Sunday, October 29, 2006

http://jefriharris. blogspot. com/
LURUSKAN SAF ! RAPATKAN SAF !

Ungkapan ini sering kita dengar dari mulut imam dalam solat jemaah. Akan tetapi amat mengecewakan apabila ungkapan tinggal ungkapan, tanpa perlaksanaan. Kita masih melihat ahli jemaah menjauhkan diri dari satu sama lain. Ada yang marah apabila dirapati atau ditarik untuk merapat. Walhal, hakikatnya, saf dalam solat melambangkan persatuan dan kesatuan umat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

"Hendaklah kalian luruskan saf kalian, atau ALLAH akan memecahbelahkan persatuan kalian." (HR Muslim no 436).

Adalah menjadi kewajipan IMAM untuk memastikan saf dibelakangnya lurus dan rapat sebelum bertakbir, sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah SAW,

Dari Nu'man bin Basyir RA berkata, "Adalah Rasulullah SAW meluruskan saf kami, seolah-olah meluruskan anak panah sehinggalah beliau berpuas hati bahawa kami telah memenuhi pangilannya. Pada satu hari, beliau keluar untuk solat. Beliau berdiri dan ketika hendak takbir, kelihatan seorang yang dadanya kehadapan dari saf. Beliaupun besabda, Hendaklah kalian luruskan saf kalian, atau ALLAH akan memecahbelahkan persatuan kalian." (HR Muslim no 436).

Atas kesedaran tentang pentingnya perkara ini, Umar bin Khattab RA mewakilkan seorang untuk meluruskan saf. Beliau tidak akan bertakbir memulai solat selagi belum dikhabarkan bahawa saf telah lurus. Begitu juga Ali dan Uthman. Ali sering berkata sebelum solat, " Ke hadapan wahai fulan! Ke belakang wahai fulan!" (Jami' Tirmizi 1/439, Muwattha 1/173, Al-Umm 1/233).

Satu kesalahan yang menyelisihi sunnah, sering kita lihat di mana imam menyeru, luruskan saf! rapatkan saf! Lalu terus bertakbir memulakan solat tanpa melihat samada ahli jemaah melakukannya.

Anas bin Malik RA berkata, " Masing-masing dari kami (dahulu) menempelkan bahunya ke bahu kawan, dan mengenakan kakinya ke kaki kawannya. Jika kamu lakukan pada zaman sekarang, nescaya mereka menjadi seolah-olah KELDAI LIAR. (tidak suka dan menjauh). " (HR Abu Ya'la dalam Musnad 3720, Silsilah Sohihah 31)

Bushair bin Yasar Al-Ansari berkata, dari Anas RA, "Bahawa ketika beliau (Anas) datang ke Madinah, beliau ditanya, ' Apa yang engkau benci pada mereka semenjak engkau mengenali Rasulullah SAW ?' Beliau menjawab, ' Tidak ada yang aku benci dari mereka kecuali mereka tidak merapatkan saf." (HR Bukhari 724, sebagaimana dalam kitab Aktha Almusollin, Syaikh Masyur Hasan 207).


Sekiranya perkara ini diremehkan, maka kaum muslimin akan:

· Memberi peluang dan ruang untuk syaithan sebagaimana sabda Rasulullah SAW, "Luruskan saf kalian, dan luruskanlah bahu-bahu kalian, dan tutuplah celah-celah. Jangan biarkan celah-celah tersebut untuk syaithan. Barangsiapa yang menyambung saf, nescaya Allah akan menyambung(urusan) nya. Barangsiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah akan memutus(urusan) nya." (HR Abu Daud 666, Sohih Targhib wa Tarhib 495)

· Berpecah dan banyak beselisih sebagaimana telah disebut dalam hadith sebelum ini.

· Hilang pahala yang besar, sebagaimana diterangkan dalam sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya Allah dan para MalaikatNya mendoakan orang yang menyambung saf." (HR Ahmad 4/269, 285, 304).

Alangkah ruginya kita apabila tidak mendapat pahala solat sepenuhnya hanya kerana kita lalai atau mementingkan keselesaan peribadi, lihat sabda Nabi, "Sesungguhnya seorang hamba itu mendirikan solat tetapi tidak mendapat pahala kecuali sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, seperenam, seperlima, seperempat, sepertiga atau setengah." (HR Abu Daud, An Nasai).

Alhamdulillah, semoga dengan kesedaran ini kita boleh memperbaiki sifat solat kita untuk menyamai sifat solat Nabi SAW. Sabda Rasulullah SAW, "Solatlah kamu sepertimana kamu lihat aku solat" (HR Bukhari dan Ahmad, dalam Irwaul Ghalil 213).

No comments: