Friday, January 09, 2004

Mengimbau Kenangan di Bumi Wakafan

Aku, Cita-cita dan Harapan
Diambil dari mailing list KISAS

9 Januari.... hari ini mengimbau kenangan bersejarah bagi diriku.....

Walaupon pada hari ini aku terlalu sibuk dengan tugas, sekali sekala, dikala melakukan kerja sebagai seorang jurutera terdetik didalam hati....

Hari inilah bermula segala kisah betapa hebatnya perubahan yang terjadi dalam hidupku....

Tanggal 9 Januari....

9 Januari 1996, hari jumaat, aku tidak pernah lupa, hari inilah aku melangkah kaki ke Kolej Islam Sultan Alam Shah, KISAS.

Aku masih ingat, tidak pernah ada dalam kamus mindaku untuk ke KISAS, tidak pernah langsung!

Mana mungkin orang sepertiku layak kesana, ku topeng mukaku..... dicermin... aku sedar aku tidak layak...

Semasa dipersekolahan menengah rendah, aku jahat, aku main-main, aku abaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh orang tuaku.... aku malas membaca buku... terlalu malas!... masa-masaku kuhabiskan dengan sia-sia pada perkara-perkara yang tidak berfaedah....

aku tersentak suatu ketika, apabila adikku meninggal dunia, ibu menangis, ayah sedih....

aku tersentak lagi, melihat ibu menangis ayah diam membisu tidak berkata apa-apa apabila kakak ku mendapat pangkat dua dalam SPM. Dikala itu, keadaan hanya tertumpu pada diriku....

Aku adalah harapan ayah dan ibu.....


***************************************************************************

Arwah datuk pernah bercerita, suatu ketika 40 tahun yang lalu, ketika ayah masih bersekolah, ayah selalu mendapat number 1.

Selesai saja persekolahan rendah, ayah ditawarkan belajar di STAR Ipoh, ketika itu adalah sekolah elit
selain Malay College dalam aliran Inggeris.

Arwah datuk berbangga, namun jauh disudut hati, datuk rasa sedih kerana keluarga kami ketika itu terlalu daif. Mana mungkin untuk datuk tunaikan tawaran itu sedangkan hutang persekolah rendah ayah juga masih belum berbayar.

Ditambah lagi dengan hutang2 persekolahan adik beradik ayah yang lain.....

Ketika itu, datuk hanya mengambil upah mengerjakan bendang orang.

Terlalu berat dan sulit dihati datuk, namun terpaksa juga datuk kisahkan pada ayah yang datuk tidak dapat menunaikan hasrat ayah untuk belajar di Sekolah Berasrama Penuh.

Dan ketika itulah, ayah faham, namun kerana terlalu sedih ayah melarikan diri kedalam hutan nipah....

Sambil menangis.....

"Hanya dua orang saja anak melayu dipilih untuk belajar disekolah Elit itu dari daerah ini...salah seorang adalah ayah"....

Ayah memang hebat! Ayah memang tekun membaca diterangi lampu minyak tanah.... seblah tangan menunjuk pada baris-baris bacaan, seblah tangan menghayun buaian adik...... hidup ayah dahulu sungguh susah, tapi ayah sabar... ayah redha dengan kesusahan itu.... ayah tidak pernah menyalahkan datuk....."


***************************************************************************

Selepas PMR, aku sentiasa meminta pada Allah, hajat dihati untuk menebus semula kegagalanku dan menunaikan hasrat ayah yang tertangguh 40 tahun lalu.... kupohon pada Allah agar aku dapatlah kiranya, menjejakkan kaki ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Pada hematku, disitulah nanti akan kutebus segala kekecewaan yang lalu. MCKK sekolah elit suatu ketika dahulu.....

Berkat anugerah Allah, pada 5 januari 1996, aku mendapat tawaran dari SBP.

Kubuka sampul itu, akhirnya, bagai tidak percara yang aku telah ditawarkan belajar di....

KISAS dalam aliran Sains Tulen.

Syukur dan terlalu syukur, melompat aku dihadapan ayah yang baru selesai solat zuhur.....

Dalam keadaan gembira itu, dihatiku terlalu gelisah.... mampukah aku di KISAS nanti..... mampukah aku.... berhadapan dengan kawan-kawan yang hebat nanti....

Kulihat wajah ayah, terlalu gembira..... dihatiku bagai tertaklif satu tanggungjawab yang amat besar untuk ku kotakan...

9 Januari, pagi-pagi lagi kami sekeluarga bertolak ke KISAS, Klang.

Ayah seawal pagi sudah mengejutkan aku, untuk bersiap kesana.... Biasalah perjalanan kami jauh... 6-7 jam ke Klang.

Didalam kereta, aku sudah memasang niat untuk belajar bersungguh-sungguh biarpun seringkali aku tersedar siapalah aku berbanding kawan-kawan.

Kukuatkan semangat, kukenang kesusahan kami.....seolah-olah ketakutan tadi hilang.....

Kami sampai, jam 1150 pagi, aku mula terpandang pada pintu gerbang KISAS.....

Dihadapan pejabat, dibawah pohon Piuus Caribbea, ibu berpesan padaku, "agar solatlah selalu, belajarlah agama baik-baik disini.... belajar rajin-rajin.... tidak ada yang terbaik boleh ibu dan ayah berikan melainkan peluang belajar..."

Ayah dan ibu tinggalkan aku di KISAS, kulihat seolah-olah laluan arah hidupku sebelum ini terlalu gelap seperti sudah disimbah cahaya.

Ku berjanji pada diriku, yang aku tidak akan membuang masa, aku akan menerima ajaran agama yang diberikan pada diriku. Siang malam akan kuhabiskan dengan perkara-perkara berfaedah. Tidak akan ada lagi erti membuang masa seperti dahulu. Aku sedar yang ayah dan ibu telah banyak bersabar dengan karenahku.

Aku telah berubah.....

Suatu ketika kupulang ke kampung, ayah dan ibu sungguh gembira, namun sebelum aku berangakat pulang ke KISAS, ayah bertanya padaku, suatu soalan yang mana aku tidak mampu untuk megelak.

"Macammana fizik?"

Aku tahu, walau ayah tidak berpeluang sepertiku, namun aku faham, ayah menaruh harapan padaku.

Ayah nak anak-anak berjaya dengan kesederhanaan keluarga kami.

Aku tidak mampu berbohong pada ayah.... lalu kutunduk mengatakan "bolela..." sungguhpun sebenarnya aku Gagal!.

Malam itu, ayah menghantarku pulang bersama ibu....

Seperti biasa, sebelum aku melangkah kaki naik keatas bas, ayah akan menghulurkan wang perbelanjaan buat bekalanku di KISAS, banyak tu.... sekali-sekali mau dekat 150-200 tu....

Ayah.....

Selepas dari malam itulah, makin menebal cita, harapanku bersungguh-sungguh di KISAS. Seandainya aku tidak faham, akan kutanya pada guru.

Dalam keseluruhan guru di KISAS, semuanya terbaik.

Namun bagiku, insan yang telah mendidik aku sehingga memilih arena ini adalah: "Mr. Ch'ng Teng Hong"!

Kerana cintaku pada ilmu fizik itulah, aku memilih kerjaya ini, kutolak perubatan kerana dalam mindaku ingin memahami semiconductor :)

Seandainya, ada insan yang mengatakan diriku terbaik, percayalah aku sentiasa menganggap ayah, ibu dan guru-guruku adalah yang terbaik!.

Semoga Allah merahmati ibu dan ayah. Mereka adalah insan istimewa.

Pada guru-guruku, semoga sentiasa diberkati Allah.

Sekian, wassalam.

No comments: