Monday, September 12, 2005

Apa orang lain buat untuk ajak Mawi ke arah kebaikan? - TG Nik Aziz
Saturday, September 10 @ 16:10:08 MYT


MACHANG, 10 Sept (Hrkh) - Apa yang demo (anda) buat bagi membawa Mawi yang menjadi ikon kepada golongan remaja masa kini ke arah lebih baik, sedangkan artis terbabit mempunyai pengikut begitu ramai.

"Demo dok marah dengan usaha kita untuk tarik Mawi ke arah lebih baik, sekarang apa yang demo buat bagi menarik Mawi dan peminatnya yang begitu ramai itu, tak kan selamanya hendak diibiarkan dalam keadaan begitu.
"Sebagai pendakwah kita perlu lakukan sesuatu bagi menarik Mawi dan pengikutnya ke arah kehidupan yang lebih baik," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada perasmian penutup Himpunan Pemuda PAS Kelantan 2005 di Dewan Majlis Daerah Machang di sini, petang semalam.

Menteri Besar, berkata, pihak-pihak tertentu termasuk yang berada di dalam PAS sendiri mengamalkan sikap statik dan mudah melenting apabila dikemukakan perkara baru, yang jarang dilakukan sebelum ini.

"Macam-macam tuduhan dilemparkan kepada kita. Kalau pada 1990 mereka menuduh pemimpin PAS mahu berkawan dengan orang yang bertanggungjawab menyebabkan kerajaan PAS Kelantan jatuh pada 1978, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah.

"Namun hasil kerjasama itu menyebabkan PAS dan Semangat 46 berjaya menawan Kelantan dan memerintah sehingga sekarang biar pun Ku Li dan Semangat 46 sudah tidak bersama kita," ujar beliau.

Beliau meluahkan rasa terkilan itu kerana mereka yang bersama mendokong Islam tidak berfikiran terbuka dan bersifat jumud apabila dilontar sesuatu perkara yang baru.

Katanya, beliau tidak hairan kalau sebelum ini Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato' Seri Hishamuddin Hussien yang menyifatkan kerajaan Kelantan tertekan sehingga terpaksa membawa Mawi bagi mengadakan persembahan hiburan alternatif kerana ada segelintir pendokong PAS sendiri yang tidak faham.

"Pemuda Umno membuat kenyataan kononnya kerajaan Kelantan mahu menjemput sama penyanyi Siti Nurhaliza pada persembahan itu. Itu karut. Selepas ini kita akan memperkenalkan banyak lagi benda-benda baru yang boleh memeningkan Umno," kata beliau.

Sebelum ini Menteri Besar menjelaskan kerajaan negeri menjemput Mawi, Ito dan artis nasyid lain bagi mempersembahkan hiburan alternatif pada konsert 'Tautan Kasih' di Padang Perdana pada 30 September ini.

Ekoran kenyataan itu menyebabkan ada pihak membantah dan menganggap kerajaan Kelantan bertindak tidak bertepatan dengan konsep Membangun Bersama Islam yang diperjuangkan selama ini.
- MJ

No comments: