Katrina.. itukah namamu
Oleh: Echopena
Katrina (bukan nama sebenar) berhasrat meninggalkan tempat lahirnya di tengah lautan. Dia ingin berhijrah ke tempat yang lebih ramai manusia. Dia ingin ke Lousiana. Tambahan pula, ada pesanan yang perlu dia sampaikan.. Namun kehadirannya tidak disenangi masyarakat setempat, bahkan masyarakat dunia sekalipun tidak mengalu-alukan kedatangan Katrina. Katrina berdegil. Baginya, kehadirannya ke Lousiana telah menjadi ketentuan Penciptanya yang lebih berkuasa daripada kesemua suara-suara yang berhasrat menghalangnya.
Katrina tidak berniat jahat. Dia tidak diciptakan untuk mempunyai perasaan jahat. Tetapi setelah ia tiba, masyarakat di New Orleans, Gulfport, Biloxi, Pascagoula, Alabama dan kawasan yang berhampiran habis gundah-gulana. Ramai yang melarikan diri namun ramai juga yang terperangkap. Bagi mereka yang tidak berkemampuan, tidak mempunyai kenderaan, mereka hanya mampu menunggu dan berharap umur mereka masih panjang. Sistem ekonomi kapitalis nyata membuahkan hasil. Semaju mana pun masyarakat setempat, pasti ada golongan yang tidak berkemampuan. Dan mereka tidak punya hak untuk mendapatkan wang zakat di negara sebegini.
Katrina dipersalahkan atas perbuatannya. Dengan sedih, dia meninggalkan Lousiana tanpa meninggalkan jejak. Dia tahu dia tidak bersalah. Dia tidak berniat menghukum sesiapa. Dia cuma ditugaskan untuk menyampaikan pesanan… untuk mengingatkan semua bahawa sekuat mana sekalipun kita, sekaya mana sekalipun kita, sehebat mana kuasa yang kita punyai, masih ada kuasa yang lebih Agung daripada itu semua. Kuasa yang tidak dapat dikalahkan, tidak dapat dihalang, tidak dapat dinafikan.
Jutaan wang terpaksa dikeluarkan daripada simpanan negara yang dikaut sama ada secara halal mahupun secara haram. “Mungkin itu dapat membersihkan sedikit hasil simpanan mereka”, fikir Katrina. Perhatian pemimpin-pemimpin yang selama ini hanya sibuk memikirkan cara menambah kekayaan negara dan kemewahan peribadi, terpaksa ditumpukan kepada usaha membantu mangsa-mangsa yang terperangkap. Jika sedikit sahaja perhatian dialihkan kepada perkara lain, pemimpin-pemimpin itu akan dimarahi orang ramai. Mereka harus tahu peranan mereka sebagai pemimpin ialah mengambil berat hal ehwal masyarakat mereka sendiri! Bukanlah tugas mereka memerah otak memikirkan cara untuk mencuri kekayaan (baca:hasil minyak) orang lain. Bukanlah tugas mereka mengambil alih negara orang untuk mengajar cara melaksanakan demokrasi… seolah-olah merekalah yang paling pandai dalam mendefinasikan demokrasi!! Wajah Katrina merah padam setiap kali dia memikirkan kejelekan pemimpin-pemimpin itu. Mahu saja dia menyerang mereka semua namun dia sedar, dia tidak layak untuk menghukum. Hanya Penciptanya sahaja yang boleh menghukum.
Perhatian dunia dialihkan kepada negara besar itu. Katrina masih ingat… selama ini negara itu berkelakuan seolah-olah boleh melakukan apa sahaja. Mereka boleh mengatakan bahawa mereka yakin ada negara sedang bersiap-sedia untuk melakukan perang nuclear dan oleh itu mereka mesti menghalangnya untuk keamanan sejagat. Walhal dalam simpanan mereka sendiri, senjata nuklear menjadi aset yang penting. Meraka mengatakan di negara sekian-sekian ada pengganas yang perlu dihapuskan. Lantas mereka membuat pas masuk sendiri ke mana-mana tempat yang mereka suka untuk menghapuskan siapa sahaja yang mereka ‘sangka’ adalah pengganas. Bukti? Ia boleh direka kemudian.
Ya…Katrina masih ingat...mereka sering menyangkakan kuasa mereka itu berpotensi menghalang apa sahaja. Tetapi tidak kali ini. “Aku datang dan aku pergi,” bisik hati Katrina. “Kenapa tiada siapa menghalang aku? Kenapa tiada siapa menangkap dan memenjarakan aku? Atau bunuh saja aku!!” Dia sendiri tahu jawapannya. Mereka bukanlah tidak mahu atau takut akannya. Mereka cuma manusia biasa yang tidak punya kuasa sehebat kuasa Pencipta Katrina. “Biarkan mereka dengan perasaan bongkak mereka itu,” marah benar suara Katrina.
Kini Katrina bersendirian lagi. Dia tidak berhasrat untuk ke mana-mana. Tugasnya sudah selesai. Dia berharap agar semua penduduk bumi mengerti bahawa ada kuasa yang tidak boleh dihalang. Ada kuasa yang boleh melakukan apa sahaja. Dia mahu kesedaran itu disalurkan sebaiknya dengan cara mengAgungkan kuasa yang Akbar itu. Jika diperlukan, dia akan menurut perintah Penciptanya untuk melawat mana-mana tempat yang masih mengangkat hidung dan perlukan bukti bahawa kuasa manusia tidaklah setara mana dibandingkan kuasa Penciptanya.
Bagi segelintir manusia yang melihat realiti di sebalik kedatangan Katrina dan memilih untuk tunduk kepada Penciptanya, Katrina bangga dengan pilihan mereka. Namun disebalik senyumannya, ada garis-garis kerut dimuka Katrina. Risau… ya...dia risau dengan mereka yang menyangkakan Katrina hanya peringatan bagi mereka yang tidak percaya kepada Penciptanya. Sedangkan dia adalah peringatan kepada semua.
Katrina bimbang kalau-kalau tugasnya selepas ini ialah melawat mereka yang percaya tetapi tidak akur.
No comments:
Post a Comment