Sunday, January 15, 2006

'Kejahatan' Saari Sungib dan GMI

Monday, 21 November 2005

oleh Ang Hiok Gai

"Kami ini jahat", kata Saari Sungib secara bergurau senda kepada saya selepas makan tengah hari secara beramai-ramai di sebuah restoran di Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu.

Pagi itu sembilan bekas tahanan ISA mewakili tahanan-tahanan pada tahun 60an, 70an, 80an dan 90an hingga kini telah berkumpul di Suhakam untuk membentangkan testimoni atau kenyataan mereka berhubung penyeksaan serta penghinaan maruah manusia di bawah ISA. Saari adalah salah seorang
pembentang.

"Orang-orang jahat seperti saudara-saudara ini amat diperlukan", jawab saya dengan merujuk kepada Saari dan Syed Ibrahim Syed Noh, pengerusi GMI
(Gerakan Mansuhkan ISA), yang duduk di sebelahnya.

ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), yang merupakan kesinambungan Akta Darurat 1948, telah diluluskan pada 1 Ogos 1960 oleh Parlimen yang dikuasai
kerajaan Perikatan. Maka, genaplah 45 tahun ISA pada hari itu dan di Suhakamlah 'upacara' diadakan untuk memperingati betapa zalimnya tahanan
tanpa bicara yang dianggar telah memangsakan lebih 10,000 orang.

Saya cukup kenal 'kejahatan' Saari melawan ISA kerana beliau menyimpan rambutnya sepanjang ditahan di bawah ISA - tanda bantahan terhadap kurungan
tanpa perbicaraan yang melebihi dua tahun.

Presiden pertama Jamaah Islah Malaysia (JIM) ini bukan calang-calang tahanan. Beliau bukan sekadar seorang Islam yang baik bahkan seorang pejuang
yang berprinsip.

Barangkali, kebolehannya mengatur tunjuk perasaan secara besar-besaran telah menyebabkan rejim Umno-BN berasa gerun. Jadi, Saari menjadi sasaran ISA.
Beliau mesti disumbat dalam penjara selama-lamanya agar perhubungan dengan orang ramai terputus.

Namun, Saari tidak mahu berdiam diri meringkuk dalam kem tahanan Kamunting. Beliau terus berperangai 'jahat' bagai duri dalam daging kepada rejim Umno-BN.

Dengan 'kejahatan'nya yang tersendiri, beliau telah menghasilkan banyak buku yang memdedahkan selok belok soal siasat dan segala kezaliman di bawah ISA.
Barangkali, disebabkan 'serangan' Saari secara bertubi-tubi yang sangat memalukan rejim Umno-BN, terpaksalah Saari dilepaskan. Antara karyanya yang 'jahat' berjudul "ISA - Undang-Undang Haram... Wajib dimansuhkan: Apa Pendirian Majlis Fatwa Kebangsaan?". Buku suara dari Kamunting ke 8 ini telah secara langsung mendesak mufti-mufti untuk mengisytiharkan ISA haram.

Buku ini telah menyukarkan mufti-mufti untuk mengeluarkan pandangan. Setakat ini, Syed Ibrahim dan GMI masih menunggu jawapan mereka.

Saya suku buku ini kerana sekurang-kurangnya kini tidak ada lagi ulama atau cendekiawan yang berani membuka mulut secara terbuka untuk menghalalkan ISA
kononnya dari perspektif Islam.

Saya juga suatu ketika dulu pernah jadi 'nakal' dan 'jahat' seperti Saari. Sewaktu belajar di Universiti Manchester pada penghujung 70an dan awal 80an,
saya terlibat secara cergas dalam kempen membebaskan tahanan ISA serta memansuhkan ISA.

Waktu itu, persatuan-persatuan pelajar Malaysia dan Singapura telah melancarkan kempen untuk membebaskan tahanan-tahanan ISA di negara masing-masing. Oleh itu, kami sering menunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Malaysia dan Kedutaan Singapura yang terletak di London.

Kami menjadi sasaran kamera. Bagaimanapun, bagi menjaga keselamatan diri dan mengelakkan disenaraihitamkan, kami pun menutup muka dengan kain
selendang.

Selain itu, kami juga menjalankan kempen mengutip tandatangan di kampus universiti masing-masing. Pada pengalamaan saya, agak sukar mendapat
tandatangan daripada pelajar Singapura kerana kebanyakannya takut kerana kerajaan Singapura cekap dalam mengesan tandatangan.

Namun, tidak semestinya lebih mudah memperoleh tandatangan daripada pelajar Malaysia. Biasanya mudah sedikit memperoleh tandatangan daripada pelajar
yang ditaja diri sendiri. Bagi pelajar tajaan kerajaan, amat sukarlah diperoleh tandatangannya.

Adakalanya, sesetengah pelajar melontarkan tuduhan bahawa kami ini menjalankan kempen untuk memalukan negara dan merosakkan nama baik negara.
Maka, orang-orang 'jahat' seperti kami ini tidak dapat lari dari dicap sebagai pelajar yang anti-kerajaan, tidak patriotik, pengkhianat dan sebagainya. Kami juga diugut ditangkap di bawah ISA apabila pulang ke tanah air nanti.

Kami mengemukakan tuntutan kepada kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura agar semua tahanan ISA dihadapkan ke mahkamah yang adil dan terbuka,
jika tidak, mereka semua dibebaskan.

Sokongan yang kami peroleh cukup menggalakkan, dari kalangan pelajar tempatan, ahli akademik, pertubuhan hak asasi manusia malah ahli parliamen.

Publisiti yang kami dapat pun cukup memuaskan. Walaupun tidak semua tahanan ISA dibebaskan sekaligus, namun tindakan-tindakan kami berhasil juga.

Kisah isteri-isteri tahanan ISA dan anak-anak mereka menjadi mangsa ISA cukup memilukan. Kisah-kisah tersebut boleh meraih simpati orang ramai, namun perasaan takut orang ramai terhadap letupan-letupan berani mati dan pembunuhan yang berlaku terutamanya di negara-negara jiran termasuk Bali dan Selatan Thai boleh mengatasi rasa simpati mereka.

Rasa takut kalau-kalau tahanan ISA itu esktrimis Islam boleh membantu orang ramai menyokong ISA.

Tahanan ISA dan keluarganya harus berulang-kali menegaskan bahawa mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan yang dituduh oleh kerajaan dan mencabar
kerajaan agar menghadapkan mereka ke mahkamah yang terbuka ataupun membebaskan mereka.

Contoh Saari sebagai tahanan ISA yang 'jahat' harus diteladani oleh semua tahanan.

Walaupun GMI sedang menghadapi keadaan yang sangat mencabar, namun kerja-kerja GMI telah menghasilkan tiga tahanan ISA, yang dituduh terlibat dalam KMM (Kumpulan Militan Malaysia), dibebaskan beberapa hari sebelum Hari Raya Aidil Fitri.

Akhir sekali, saya angkat tabik kepada Saari, Syed Ibrahim, Aliza Jaaffar dan para aktivis GMI atas kegigihan mereka meneruskan perjuangan menentang ISA. Semoga apa yang dilakukan itu akan mempercepatkan ISA dan semua undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa bicara dimansuhkan.

ANG HIOK GAI merupakan Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat.

No comments: