Cerita dari Borneo
Tidak semua orang mampu untuk menghargai apa ertinya nilai menganuti Islam.
Satu pagi kami dapat panggilan kecemasan, diminta pergi ke Mukah. Mesejnya jelas tapi ringkas:
SEGERA KE MUKAH, ADA KELUARGA NAK MASUK ISLAM.
Kami terus buat persiapan untuk ke Mukah. Selepas beberapa panggilan telefon dibuat, kami ambil keputusan untuk bawa dua orang ustaz yang memang berasal dari Sarawak bersama.
Saya memang tidak pernah ke Mukah, kira inilah pengalaman pertama mengembara ke Mukah. Perjalanan sepatutnya mengambil masa dua jam lebih. Saya tak tahu apa yang bakal dilihat di sana, tapi menurut dari orang ramai yang saya selidiki, kata mereka Mukah ni tak lah kampung sangat, ada juga pekannya sendiri tapi tak lah terlalu besar.
Jika anda masih ingat lima belas tahun lepas semasa PLUS masih belum siap, bagaimana kita selalu guna jalan dalam untuk balik kampung, maka lebih kurang begitulah jalan ke Mukah - satu lorong sahaja.
Cuma bezanya tidak banyak kenderaan yang lalu lalang dan di tepi jalan tiada kedai-kedai. Yang ada hanya hutan-hutan, ladang-ladang dan sekali sekala rumah-rumah panjang. Bukan sahaja lima belas tahun, tapi dah berpuluh tahun akan datang pun saya berkira Sarawak tetap akan begini.
Rumah panjang ada pelbagai jenis, kebanyakannya diperbuat dari kayu tapi ada juga yang dah ditukar kepada batu. Cuma yang pelik bin ajaibnya, biarlah nampak semiskin manapun rumah panjang tersebut, seusang-usang rumah panjang pun pasti ada astro. Boleh nampak betapa ironi nya kemodenan piring astro tersebut dengan dinding kayu rumah panjang yang begitu dhaif.
Amat menyedihkan. Rakyat miskin dan merana, minda terjajah.
Apa lagi yang tidak hendak ditangiskan? - Nur hidayah.
Di pertengahan jalan, subhanAllah jalan begitu teruk sekali. Jalan retak, pecah dan berlubang-lubang dengan begitu dahsyat. Sehingga kalau memandu, hendak mengelak satu lubang pasti akan termasuk ke lubang yang lain.
Sungguh tak sangka di Malaysia masih ada jalan yang sebegini teruk. Apa yang pemimpin-pemimpin Malaysia kita sedang mimpikan? Jika di Kuala Lumpur sehingga boleh ada ERL, LRT, STAR, PLUS dan lain-lain akronim, tapi rakyat di Sarawak satu-satunya jalan selamat untuk ke satu-satu bandar pun perlu ditagih.
Ya Allah berilah hidayah kepada pemimpin Malaysia. Jika sudah ditakdirkan bahawa tidak Dikau beri hidayah kepada mereka, maka tukarkanlah mereka dengan pemimpin yang diberi hidayah. Allahumma ameen.
Walaupun jip yang dipandu, tapi ia serupa ibarat menaiki unta kerana terlalu banyaknya lubang-lubang yang tidak dapat dielak. Tiba-tiba, buat kali keberapanya kereta kami melompat tapi kali ini kereta kami jatuh dengan bunyi seperti besi patah.
Terbeliak mata kami bila sempat nampak ekzos kereta patah dan tertinggal beberapa meter di belakang.
SubhanAllah macam-macam ujian yang melanda. Tapi .. ini baru permulaan.
No comments:
Post a Comment