Abdel Aziz Rantisi dibunuh!
Situasi di Palestin akan bertambah buruk - PM
ALOR STAR 18 April - Tindakan kejam tentera Israel membunuh pemimpin Hamas, Abdel Aziz Rantisi dalam serangan peluru berpandu semalam akan menjadikan situasi di Palestin bertambah buruk dan keganasan akan terus meningkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keganasan yang dilakukan oleh tentera Israel itu akan menyebabkan kebencian rakyat Palestin terhadap rejim Yahudi itu semakin bertambah selepas mereka melakukan tindakan yang sama terhadap pengasas Hamas, Sheikh Ahmad Yassin, bulan lalu.
``Ini (pembunuhan Abdel Aziz) tidak akan membawa kepada keamanan yang diharapkan untuk Palestin,'' katanya dalam sidang akhbar pada akhir lawatan beliau ke negeri ini, hari ini.
Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan tertutup dengan Badan Perhubungan UMNO negeri dan Barisan Nasional (BN) Kedah di Bangunan Tunku di sini.
Perdana Menteri mengulas pembunuhan pemimpin Hamas, Abdel Aziz Rantisi, semalam, selepas tentera Israel membunuh pengasas kumpulan Hamas, Sheikh Ahmad.
Abdel Aziz yang dilantik menggantikan Sheikh Ahmad terbunuh dalam satu serangan peluru berpandu tentera Israel yang terkena keretanya semalam. Dua orang pengawal peribadi Abdel Aziz turut terbunuh dalam serangan tersebut.
Pembunuhan Abdel Aziz dilakukan kurang sebulan daripada pembunuhan Sheikh Ahmad pada 22 Mac lalu - juga dalam satu serangan peluru berpandu tentera Israel.
Abdullah berkata, beliau tidak bercadang untuk menghantar surat kepada para pemimpin utama dunia mengenai keganasan terbaru tentera Israel itu kerana surat yang telah dihantar kepada Presiden Amerika Syarikat, Perdana Menteri Britain, Presiden Rusia, dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai isu Palestin sudah memadai.
``Surat itu telah menyatakan dengan jelas pandangan saya bahawa situasi di Palestin adalah berada dalam keadaan buruk dan mungkin bertambah buruk (jika tidak ada tindakan diambil mengenainya),'' ujarnya.
Perdana Menteri pada Rabu lalu menghantar satu surat kepada Presiden Amerika Syarikat Amerika Syarikat, George W. Bush; Perdana Menteri Britain, Tony Blair; Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan mendesak mereka memastikan Israel mematuhi Pelan Damai Timur Tengah bagi membina negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.
Dalam suratnya itu, Perdana Menteri melahirkan kebimbangan ketara terhadap sokongan yang diberikan oleh Bush kepada pelan pengunduran yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon, dalam lawatannya ke Washington baru-baru ini.
Perdana Menteri juga menyatakan kebimbangannya bahawa sokongan sedemikian bukan sahaja akan menggalakkan Israel terus mengetepikan kepentingan Palestin dan tidak membantu memenuhi matlamat Pelan Damai, malah tidak menangani isu teras konflik itu sehingga mungkin menyebabkan proses damai secara keseluruhannya terjejas.
Abdullah berkata, tindakan terbaru tentera Israel itu menunjukkan pelan damai yang dirangka oleh Amerika Syarikat dan Israel sebelum ini tidak dipakai dan diketepikan oleh Israel sendiri.
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment