Tuesday, April 05, 2005

Jalan Raya Hadharah Islamiyyah

Umum maklum bahawa garis panduan Islam itu menyeluruh, lengkap lagi melengkapi (syamil dan kamil) dari etika menguruskan negara, membina rumah tangga sehingga lah kepada penjagaan shakhsiyyah diri.

Hasil dari mengamalkan keseluruhan etika shari'ah maka akan terhasillah hadharah islamiyyah, atau madaniyyah islamiyyah atau apa-apa pseudo-name yang kita ingin gelarkan.

Salah satu kesan dari hadharah islamiyyah sebenarnya boleh tampak di jalanraya. Negara yang rakyatnya hidup dengan penuh kesedaran mengenai nilai-nilai Islam akan hidup sebagai ibad Ar-Rahman. Antara ciri utama ibad Ar-Rahman disebutkan di dalam surah al-Furqan:

25:63 And the servants of ((Allah)) Most Gracious are those who walk on the earth in humility, and when the ignorant address them, they say, "Peace!"

Maka rakyat negara hadharah islamiyyah, bukan sahaja mereka berjalan kaki dengan kehambaan, malah seharusnya mereka memandu kereta dengan penuh kehambaan. Hasil dari sifat kehambaan akan menatijahkan pemandu-pemandu kenderaan yang berhemah, bersopan santun, memandu dengan kelajuan yang sederhana dan lain-lain sifat yang terpuji.

Bukan itu sahaja, malah jika ada pemandu non-hadharah menunjukkan tanda satu jari kepada pemandu hadharah, maka pemandu hadharah akan membalas balik dengan dua jari *peace*. Jika pemandu non-hadharah menggerakkan bibir dengan sebutan f-u-c-k, maka pemandu hadharah akan membalas dengan sebutan j-z-k-k. Kerana ini merupakan sifat-
sifat ibad Ar-Rahman.

Menurut Shaykh Tawfek Choukry (di Indianapolis), yang merupakan anak murid Shaykh Said Ramadhan al-Buti negara-negara Islam sepatutnya mempunyai jalan raya yang terbersih di dunia. Kerana ini bukan hanya soal jalan raya, malah sebenarnya soal iman. Semua tahu bahawa, cabang iman yang terendah adalah membuang duri (atau apa-apa yang menyakitkan fizikal dan mata pengguna jalan raya) dari jalan raya. Maka jika cabang iman yang terendah pun kita tidak mampu untuk hidupkan, bagaimana realisasi kita terhadap cabang iman yang terbesar iaitu kalimah syahadah?

Pembesar-pembesar negara hadharah islamiyyah akan berusaha sedaya upaya menurap jalan agar tiada lubang yang boleh merosakkan kenderaan rakyat. Ini kerana mengikuti contoh Umar r.a. yang amat bertanggunggjawab dan begitu risau jika ada unta tercedera kerana jalan yang tidak baik di bandar-bandar.

Dengan hanya menyentuh dua tiga point di atas, diri sendiri tertanya-tanya, negara manakah yang lebih hadharah islamiyyah jalan raya nya, Malaysia atau Amerika?

Ahh .. tiba-tiba terbayangkan jawapan dari ustaz di tv. "Jalan raya kita jalan raya hadharah islamiyyah, kerana kalau kenderaan memotong, mereka memotong dari lorong sebelah kanan dan itu merupakan sunnah ar-Rasul s.a.w. ('alal yameen = mendahulukan yang kanan)"

Whatever :)

No comments: