KOTA KINABALU 11 Julai - Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) berjaya
meningkatkan bilangan penonton beritanya sebanyak 10 peratus berikutan
pendekatan barunya menyiarkan berita mengenai selebriti.
Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu
adalah sebagai usaha terbaru RTM untuk menarik penontonnya bagi
mendapatkan liputan berita secara menyeluruh.
Katanya, bagaimanapun ia dibuat mengikut keutamaan pemberitaan berdasarkan
pengalaman Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin sebagai bekas
seorang wartawan.
''Siapa yang tidak mahu mendengar perkembangan mutakhir terutama di
kalangan selebriti, kalau secara kebetulan ia merupakan selebriti itu,
maka itulah yang akan dipaparkan.
''Syukur bilangan penonton kini meningkat dan mengikut kajian oleh AC
Nielsen, berita RTM mempunyai bilangan penonton seramai 500,000 orang,"
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan taklimat
K-Bestari di Wisma Dang Bandang di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri yang juga Exco
Penerangan negeri, Datuk Abdul Rahim Ismail.
Zahid mengulas mengenai pendekatan RTM sejak kebelakangan ini yang turut
sama mengambil kesempatan memaparkan isu putus tunang juara Akademi
Fantasia 3, Asmawi Ani.
Mengulas lanjut, beliau berkata, RTM tidak berniat untuk bersaing dengan
sistem televisyen lain dengan hanya mementingkan isu-isu polemik atau
kontroversi.
Sementara itu, beliau berkata, negeri ini akan mendapat liputan radio dan
televisyen yang lebih baik berikutan pemasangan beberapa menara pemancar
dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Katanya, pada masa ini liputan siaran radio yang berada sekitar 90 peratus
dan televisyen 80 ke 85 peratus akan dapat ditingkatkan kepada 100 peratus
dan 90 peratus.
''Cuma bagi kawasan terlalu pedalaman dan pergunungan yang melibatkan kos
tinggi, kita terpaksa menunggu lagi," katanya.
Bagaimanapun kata beliau, bagi mengatasi masalah itu, RTM merancang
mendapatkan kerjasama dengan pihak televisyen berbayar, Astro bagi
membantu meningkatkan keupayaan liputan di negeri ini.
No comments:
Post a Comment