Oleh: Muhammad Haleem
Semasa di Jordan, saya pernah dirawat sebanyak dua kali di Jordan Islamic
Hospital. Nama itu adalah nama yang berat untuk dipikul oleh sebuah
hospital kerana ia membawa kepada masyarakat menilai setiap aspek hospital
tersebut sama ada menepati Islam atau tidak. Memang tidak dinafikan,
hospital tersebut cuba menjaga pelbagai sudut operasinya agar
menepati Islam. Saya menghargainya.
Misalnya, wad lelaki dan perempuan diasingkan, di mana wad perempuan
dikendalikan sepenuhnya oleh kakitangan perempuan. Daripada jururawat,
hinggalah kepada kerani dan pekerja membersih lantai. Manakala di wad
lelaki pula, keadaannya sama iaitu semua jururawat dan kakitangan yang
lain, lelaki. Mungkin kita sinis dengan situasi begini, tetapi
sekurang-kurangnya Jordan Islamic Hospital telah mengorak langkah.
Namun, apa yang saya kenang sampai bila-bila adalah budi bahasa kakitangan
hospital tersebut. Selepas menerima rawatan, saya diserahkan bil sebanyak
JD1200 iaitu kira-kira RM7 ribu. Tentulah jumlah ini mustahil untuk saya.
Saya bertanya, apakah ada peluang untuk saya memohon bantuan kewangan atau
mungkin dikurangkan jumlah bil tersebut. Saya diberitahu oleh kakitangan
kewangan hospital, agar berjumpa terus dengan pegawai yang bertanggungjawab
di dalam hal ini.
"Saya mohon agar dikurangkan bayaran bil ini kerana jumlahnya terlalu
besar. Saya memilih untuk menjalani pembedahan di hospital ini kerana saya
yakin dengan 'kualiti perkhidmatan' yang diberikan, di samping suasana
Islamnya', saya cuba memohon pertimbangan.
"Ya akhuy!, bagaimanakah kesihatan kamu sekarang?", itu ayat yang keluar
dari mulut pegawai tersebut.
"Alhamdulillah beransur baik. Syukur kepada Allah.", saya menjawab sambil
terpinga-pinga menanti jawapan tentang bil itu tadi.
"Selain rawatan, apakah yang kamu dapat selama kamu berada di hospital
ini?", tanyanya lagi.
"Saya dapat dua orang kawan baru. Seorang pesakit berbangsa Sudan yang
menghadiahkan saya lawatan setiap hari. Dia sentiasa membantu saya bangun
untuk mengerjakan Solat. Seorang lagi adalah pesakit dari selatan Jordan.
Dia menghadiahkan saya senaskhah al-Quran dan seutas tasbih.
Pelajaran berharga yang saya dapat adalah PERSAUDARAAN ISLAM", saya cuba
memberikan penjelasan.
"Setujukah kamu kalau saya katakan Islam itu indah?", beliau seakan-akan
cuba menduga saya.
"Ya, memang indah", saya menjawab.
"Jika persaudaraan menjadi Islam, ia menjadi persaudaraan yang indah. Jika
kehidupan kita menjadi Islam, ia menjadi kehidupan yang indah. Jika
hospital ini menjadi Islam, ia pasti menjadi hospital yang indah. Betul
tak?", beliau tersenyum kepada saya.
"Ya, saya hanya sakit fizikal, tetapi fikiran dan jiwa saya tenang.", saya
membalas.
" Ya akhi, tulislah di kertas ini apa-apa cadangan kamu untuk kami
tingkatkan kualiti perkhidmatan kami di sini. Kamu sudah membayar 200 Dinar
semasa pendaftaran tempoh hari, betul tak?", ujarnya.
"Ya. JD200", saya menjawab.
"Nah, ambillah baki 60 Dinar. Jagalah kesihatan kamu sebab kamu pelajar
Syariah. Kamu perlukan kesihatan yang baik untuk melaksanakan tugas kamu di
dalam masyarakat", pegawai itu menghulurkan tiga keping wang kertas 20
Dinar bersama sekuntum senyuman.
Subhanallah, saya jadi keliru. Saya sepatutnya membayar JD1200 tetapi
akhirnya, menjadi hanya JD140 sahaja.
Saya cuba mendapatkan penjelasan berkenaan dengan hal ini. Kata pegawai
terbabit, mereka meletakkan cas yang standard kepada pesakit kerana
hospital itu adalah hospital pakar swasta. Namun, ia adalah keperluan,
bukan tujuan. Sebarang bantuan kewangan, hanya dihulurkan jika pesakit atau
warisnya mahu bertemu dengan pegawai yang telah ditetapkan. Dan apabila
bertemu, pegawai itu akan melaksanakan misinya menyampaikan mesej-mesej
Islam kepada pesakit atau waris tersebut.
Itulah kenangan saya semasa menerima rawatan dan pembedahan di Jordan
Islamic Hospital. Apa yang menjadi ingatan saya hingga ke hari ini,
bukanlah pada kecantikan landskapnya, atau wad dan bilik pembedahan yang
canggih. Tetapi yang menjadi ingatan untuk saya terus mendoakan kemajuan
hospital tersebut adalah pada budi bahasa pegawainya, serta
'pelajaran-pelajaran berharga' selama saya di hospital tersebut.
Mungkin ada yang ketawa sinis membaca cerita saya ini. Alahai macam
hospital di kayangan pula bunyinya!
Izinkan saya untuk membalas ketawa itu dengan senyuman. Seorang yang mahu
menikmati Syurga Akhirat, mestilah terlebih dahulu menikmati Syurga dunia.
Syurga dunia itu adalah pada kesejahteraan iman dan ketenangan diri yang
syukur, sabar dan redha. Jika rumah tangga kita bagai neraka, jika tempat
kerja kita bagai neraka,....
Maafkan saya, dari Allah jua dipohon keampunan.
Wassalamualaikum wbt.
No comments:
Post a Comment