Thursday, September 25, 2003

Kerinduan ... pada biah yang solehah

Sungguh aku rindu,

SubhanAllah, gambar gambar* walimah akh Imran dan ukht Hafsa, benar benar membuatkan hati ini rindu pada suasana biah yang solehah sepertimana di Hira' dan KISAS dulu.

Sungguh aku rindu,

Mu'allim dan mu'allimah** yang senantiasa meletakkan Allah dalam 'equation pembelajaran' meskipun mengajar subjek subjek non-deeniyyah. Mengajar tanpa mengenal erti penat dan jemu, mengajar tanpa menerima gaji lumayan seperti guru guru di sekolah sekolah lain, meskipun mereka kebanyakknya graduan universiti. Bukan sahaja mendidik akademik, bahkan pendidik ruhani dan spiritual yang cemerlang. Bukan sahaja menunjuk ajar anak murid, bahkan mempraktikkan sendiri dalam amalan harian mereka. Bukan sahaja bijak menyulam semangat jihad bagi anak didik, bahkan pergi sendiri melibatkan diri dalam jihad melawan Russia. Bukan sahaja di luaran nya berketayap dan bertudung labuh, malah dalaman hati mereka turut memakai pakai taqwa. Allahu a'lam.

Sungguh aku rindu,

Teman-teman sehati, sejiwa, yang memahami. Yang apabila melihat wajah mereka, mengingatkan daku kepada Allah. Apabila aku tersalah langkah mereka perbetulkan. Tika diriku goyah mereka perteguhkan. Saat imanku lemah mereka perkuatkan. Teman teman yang tanpa lidah berbicara, hati sudah tahu segalanya. Sahabat sahabat yang menyanyikan lagu lagu nasyid agar kita tidak leka dari Nya.

Sungguh aku rindu,

Denda-denda murabbi untuk meluruskan kami. Cuci tandas dan ketuk ketampi. Mu'allimuun kata, mencuci tandas itu elok untuk menyucikan hati. Rotan pun sekali sekala hinggap di kaki. Kami muraqib (pengawas)banding non-muraqib kena rotan lebih lagi. Waktu itu aku tak mengerti, kenapa asyik dihukum lagi dan lagi. Namun segalanya jelas kini. Sungguh ku terhutang budi, tak cukup dengan ucapan berterima kasih walau sejuta kali. Yang pasti, perlu untuk aku menabur bakti, pada sekolah, masyarakat, ummah dan famili.

Sungguh aku rindu,

Bilakah agaknya dapat ku berada semula dalam biah solehah yang seperti itu .. ? Perlu kah, aku kembali ke zaman alam sekolah .. ?

Persoalan yang sebenarnya .. mampukah aku .. ?

Mampukah aku .. mewujudkan biah yang solehah ..
... di tempat ku berdiri kini .. ?

Dan persooalan yang sebenar benar nya ....

... sudah sejauh manakah usaha ku ..? ... sudah sejauh manakah usaha ku ..? dan ... sudah sejauh mana pula usaha mu ..?

Allahumma ilayka ashku dha'fa quwwatee, wa qillata heelati, wa hawaanee 'ala an-naas.

------------------------------------------------------------------------------------------------

* gambar gambar walimah ::: di sini
** mu'allim = panggilan bagi guru lelaki di SMI Hira'
mu'allimah = panggilan bagi guru perempuan di SMI Hira'

No comments: