Sunday, September 14, 2003

Puisi Muslimah

MONOLOG SEORANG PEJUANG

(Khas buat insan teristimewa dalam hidup ini... dan juga isteri-isteri pejuang... serta bakal isteri seorang pejuang)

Isteriku....
Apabila kusentuh telapak tanganmu...
Ku usap-usap,ianya semakin kasar dan keras....
Apabila kurenung wajahmu....
Terpancar sinar bahagia dan ketenangan walaupun kutahu...
Redup matamu menyimpan satu rintihan yang memberat....
Apabila kutersentak dari pembaringan dikala fajar kazib menyinsing... Aku
terpana dek munajatmu yang syahdu.


Isteriku...
Tatkala teman-temanmu sedang bersantai di samping...
Insan-insan tersayang di dunia ciptaan mereka..
Engkau bahagia mengorbankan seluruh detik-detikmu....
Hanyasanya untuk Islam...
Tatkala lengan-lengan mereka dibaluti...
Pelbagai hiasan yang indah...
Leher-leher mereka memberat dilingkari dengan kilauan barang kemas...
Pakaian-pakaian mereka anggun persis puteri kayangan...
Wajah mereka dipalit pelbagai warna dan jenama...
Kau umpama ladang ummah...
Kau menginfa'kan seluruh jiwa dan raga demi kebangkitan Islam...
Kau tak pernah bersungut-sungut, mengeluh, meminta-minta mahupun
mengadu domba...
Tatkala mereka berlumba-lumba mengejarpangkat dan nama..
Kau gah menjulang nama dengan pengaduanmu di sisi yang Esa...

Isteriku....
Bukan aku tidak mampu membelikan barangan dan hiasan-hiasan tersebut...
Tetapi isteriku...
Aku masih ingat tatkala aku menyuntingmu untuk dijadikan suri dan seri kamar
hatiku....
Kau melafazkan, "Saya sudi menjadi sayap kiri perjuangan saudara tetapi
dengansyarat..."..
Kau tersenyum sambil menghela nafas dalam-dalam....
Aku termangu sendirian...
Syarat apakah itu? Banglokah? Hantaran seribu serba satukah? Kereta
mewahkah? Aksesori Habib Jewels kah? Barangan kulit Bonia kah? Perabot mahal
dari Itali kah?...
Atau honeymoon di Kota Paris kah?..
Katakan...Aku mampu memberikan...
Lamanya kau mengumpul kekuatan untuk berkata...

Akhirnya...
Arghhh... Permintaanmu itu...
Pasti ditertawakan oleh kerabat dan teman-teman kita...
Aku tergamam serta Kelu...
Dengan penuh keyakinan kau berkata..
"Saudara , Mampukah saudara menjadikan saya sebagai isteri yang
kedua saudara?....
Mampukah saudara menjadikan Islam sebagai isteri pertama saudara yang lebih
perlukan perhatian?...
Mampukah saudara meletakkan kepentingan Islam melebihi segala-galanya
termasuklah urusan-urusan dunia?...
Mampukah saudara menjual diri saudara semata-mata kerana Islam?..
Mampukah saudara berkorban meninggalkan kelazatan dunia?...
Mampukah saudara menjadikan Islam laksana bara api....
Saudara perlu menggenggamnya agar bara itu terus menyala...

Mampukah saudara menjadi lilin yang rela membakar diri untuk Islam..
Bukannya seperti lampu kalimantang yang bisa di'on'kan bila perlu dan
di'off'kan bila tidak....
Mampukah saudara mendengar hinaan yang bakal dilontarkan kepada saudara
kerana perjuangan saudara....
Dan... mampukah saudara menjadikan saya isteri seorang pejuang yang tidak
dimanjai dengan fatamorgana dunia?...

Aduh! Banyaknya syarat-syarat itu isteriku...
Namun aku menerima syarat-syarat tersebut kerana aku tahu..
Jiwamu kosong dari syurga dunia...
Kerana aku tahu kau mampu mengubah dunia ini dengan iman dan akhlakmu..
Bukannya kau yang diubah oleh dunia...

Isteriku..
Akhirnya jadilah engkau penolong setiaku sebagai nakhoda mengemudi bahtera
kehidupan kita...
Susah senang kita tempuh bersama...
Aku terharu dengan segala kebaikanmu...
Kau jaga akhlakmu...
Kau pelihara maruahmu selaku muslimah...
Kau tak pernah mengeluh apabila sering ditinggalkan dek tugasku menjulang
Islam ke persada agung....
Kau jua sanggup menyekang mata menungguku sambil memberikan aku suatu
senyuman terindah di ambang pintu tatkala aku pulang lewat malam.... Malah
kau seringkali meniupkan semangat untuk aku terus thabat di pentas
perjuangan ini....
Kau tabur bunga-bunga jihad walaupun kita masih jauh dengan haruman
kemenangan...

Isteriku..
Tangkasnya engkau selaku suri...
Biarpun kau jua sibuk bersama mengembleng tenaga selaku sayap kiri
perjuanganku..
Kau jaga teratak kita dengan indahnya...
Kau siraminya dengan wangian cinta dan kasih sayang....
Kau tak pernah menjadikan kesibukanmu itu untuk kau lari dari amanahmu
meskipun jadualmu padat dengan agenda-agenda bersama masyarakat dan kaum
sejenismu....
Cekalnya engkau mendidik anak-anak...
Kau kenalkan mereka dengan Allah, Rasul SAW, Ahlul Bait serta para
pejuang Islam...
Kau titipkan semangat mereka sebagai generasi pelapis jundullah...
Kau asuh mereka membaca Al Quran...
Malah kau temani mereka mengulangkaji pelajaran dikala menjelangnya
peperiksaan...

Isteriku...
Barangkali inilah kebenarannya ungkapan keramat Al Khomeini...
Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia...
Andai Saidatina Fatimah binti Rasulullah SAW masih ada..
Pasti beliau tersenyumbangga kerana masih ada srikandi Islam...
SEPERTIMU....WAHAI ISTERIKU..

Wallahu A'lam..




MENYINTAI TIDAK BERMAKNA MEMILIKI

Janganlah kau angkuh melaungkan...
Si dia kepunyaanmu...
Atau kau kepunyaan si dia ...
Kerana hakikatnya...
Kita tidak pernah memiliki sesiapa...
Walau sekeping hati seorang insan...
Tidakkah kau sedar...
Hukum alam menyatakan...
Menyintai tidak semestinya memiliki?...

Manusia pandai berpura...
Berlakon di pentas dunia...
Dan bertopeng menutup rahsia..
Tetapi hati...
Tidak pernah berdusta pada empunya...
Tentang perasaan yang bergolak di dalamnya...

Tidakkah kau sedar...
Mungkin si dia melafazkan...
Ungkapan cinta padamu...
Tetapi hati dan perasaannya...
Tidak pernah berniat begitu...
Dia hanya berselindung...
Di sebalik sejuta alasan...

Dan kau...
Begitu jujur dan setia menyintainya..
Sehingga terlupa..
Hukum alam menyatakan..
Menyintai tidak bermakna memiliki..

Sesungguhnya...
"Aku tidak pernah memiliki dirimu..."
"Dan kau jua tidak memiliki diriku."

Mengertilah...
Kita sebenarnya kepunyaan..
Yang Maha Esa...
Tiada sesiapa berhak memiliki diri kita...
Kecuali Dia...
Dia mengasihi hambaNya...
Dia memiliki hambaNya...
Dan ke pangkuan Dia kita akan dikembali......

Nukilan: Qurratun 'Ain

No comments: