Kata-kata 'Hikmat'
Bismillah ar-Rahmaan ar-Raheem, Alhamdu lillahi Rabb il-'Aalameen, wa as-solaatu wa as-salaamu 'ala rasulihi al-ameen, wa 'ala aalihi wa sohbihi ajma'een.
Zaman muda muda dulu, menjadi kegilaan remaja sekolah menengah menelaah komik komik pendekar Hong Kong. Dalam komik komik tersebut ada pelbagai hikmat (atau kuasa luar biasa) yang digunakan untuk menewaskan musuh.
Antara hikmat hikmat yang ulung adalah hikmat api syurga meragut lalang, hikmat badan kebal titanium dan macam macam lagi (hikmat yang mengarut mengarut).
Bagi seorang muslim, ia juga mempunyai hikmat hikmat yang tersendiri bagi menumbangkan lawan. Salah satu hikmat yang cukup terkenal yang dinamakan oleh teman teman sehati adalah 'hikmat ketenangan abadi'.
Hati
Hikmat ketenangan abadi adalah suatu hikmat yang seharusnya diimpikan oleh setiap mukmin. Salah satu ciri hikmat ketenangan abadi adalah mempunyai hati yang tenang dan sejahtera; qalbun saleem.
Allah swt telah rakamkan di dalam Al-Qur'an bahawa hari itu (hari pembalasan) di mana tidak berguna harta dan anak anak melainkan mereka yang datang kepada Allah dengan qalb yang saleem.
Dengan kata lain, tidak ada seorang pun dan tidak ada sesuatu pun (there is no-one and no-thing) yang dapat membantu kita pada Hari Perhitungan, melainkan bergantung kepada keadaan kesihatan hati kita.
Nafs
Nafs bagi pengamal hikmat ketenangan abadi juga haruslah dikawal. Imam Al-Ghazali rahimahullah mengumpamakan nafs itu seperti kuda. Jika kita berjaya mengawal dan mengendalikannya dengan baik maka kuda itu mampu kita dapat manfaat darinya, namun jika kita gagal mendisiplinkan ia, maka ia akan memperhambakan kita.
Kerna itu acapkali kita perhatikan bahawa manusia diperkudakan oleh nafsu mereka sendiri. Nafsu menjadi raja dan pemilik nafsu menjadi hamba. Segala sesuatu yang nafsu inginkan ia turuti penuh kelemahan. Ia sangka ia hidup penuh kepuasan, tetapi hakikatnya kehidupannya penuh kehinaan.
Allah berikan gambaran bahawa nafs seorang mukmin yang dalam celupan Allah )sibghah Allah), dinamakan nafs al-mutma-innah, iaitu secara literal nya bermaksud nafs yang tenang. Sekali lagi perkataan 'tenang' dititik beratkan di sini.
Iradah
Untuk mereka yang mampu untuk meneroka hikmat ini lebih jauh sehingga ke hikmat ketenangan abadi peringkat kelapan, segala latihan harus difokuskan pada iradah(kehendak) mereka. Seorang yang mencari jalan ini (saalik) harus faham bahawa tujuan utama kehidupan adalah untuk mengikuti arahan dan kehendak Allah swt.
Lantas mulut hanya menuturkan apa yang Allah swt mahukan, mata hanya melihat apa yang Allah swt izinkan, telinga cuma mendengar suara dan audio yang Allah swt cintai, dan ini berterusan pada gerakan tangan, kaki, badan dan seterusnya.
Namun usah kita berhenti atau terhenti pada peringkat yang cetek itu, bahkan seorang murid yang hakiki bukan hanya menjadikan gerakan fizikal mereka mengikut apa yang Allah swt sukai dan kehendaki. Yang lebih utama adalah menjadikan segala gerakan hati kita juga menurut apa yang Allah sukai dan kehendaki.
Natijahnya, apabila seorang yang menyedari hakikat ini dan berlatih keras untuk merealisasikannya akan menyedari bahawa yang menjadi ultimatum objektif kehidupan - adalah sehingga hatinya sudah tidak mempunyai iradah melainkan apa yang menjadi iradah Allah swt. Dengan kata lain iradah dirinya sudah mati(fana), dan yang wujud hanyalah iradah Allah swt. Ini merupakan perkara paling utama dalam hidup ini.
Dengan terhasilnya perkara ini, maka akan tercapai apa yang Allah gambarkan di dalam hadis qudsi bahawa Allah menjadi mata yang di mana dia melihat, Allah menjadi telinga yang mana ia mendengar dan Allah menjadi tangan dan kaki di mana ia bergerak.
Sumber Ketenangan
Ketahuilah bahawa seseorang yang berjalan di kepanasan padang pasir yang luas, di tengah mentari yang terik teramat dan bekalannya airnya sudah kehabisan tidak akan dapat menghilangkan dahaganya kecuali apabila ia menjumpai sumber air. Lebih hampir ia kepada sumber air, maka lebih tinggi kebarangkalian untuk dia menghilangkan hausnya. Lebih jauh ia daripada sumber air, maka amat minimal jika tidak sifar kebarangkaliannya bagi ia membasahi tekaknya.
Dengan nada dan kefahaman yang sama, kerana itu perlu disedari bahawa seseorang itu tidak mungkin dan tidak akan mencapai hikmat ketenangan abadi jika dia berada jauh dari sumber ketenangan.
Dan apakah sumber ketenangan itu?
Sumber ketenangan yang wujud hanyalah satu. Iaitulah Allah swt. Bahkan salah satu dari nama Allah swt sendiri adalah As-Salaam. Kerna itu lah hanya dengan mengingati Allah jiwakan tenang.
Semakin kita dekati Allah swt bermakna semakin dekat kita pada sumber ketenangan maka semakin tinggi kebarangkalian bagi kita untuk mencapai ketenangan.
Sebaliknya, jika kita menjauhi Allah swt, maka semakin jauhlah kita dari sumber ketenangan, lantas semakin sukar bagi kita memperoleh ketenangan malah lebih mudah bagi kita ditimpa gundah gulana dan keluh kesah.
Maka untuk mengamalkan hikmat ketenangan abadi, mulakanlah perjalanan menuju Allah swt dari saat ini. Dan teruskan perjalanan tanpa henti, walau jatuh tersungkur dan tertiarap berjuta kali. Biarkan jantung itu berdegup dengan degupan Allah, Allah, Allah, Allah ....
Selingan:
Kata kata 'hikmat' dan kata kata jampi bagi melawan musuh
Muslim di Malaysia amat gemar kepada kata kata 'hikmat' atau yang lebih biasa didengari - kata kata jampi. Mulut kumat kamit membaca sesuatu ditiup, fuhhh, lantas perkara yang abnormal berlaku.
Contohnya: Kata kata jampi bagi melawan syaitan adalah dengan menuturkan kata kata 'hikmat' isti'azah - A'uzhubillahi min as-syaitani ar-rajeem. Langsung sepantas kilat, kata kata tersebut bertindak bagaikan anak panah menusuk terus ke syaitan; musuh mukmin yang nyata.
Memang benar kata kata 'hikmat' ini sahih dan digalakkan oleh Nabi saw untuk kita membacanya bagi mengalahkan syaitan. Namun kenapa terkadang kita baca dan amalkan kata kata hikmat ini, tapi keinginan untuk berbuat perkara yang dimurkai Allah masih bertempel di hati? Seolah olah syaitan adalah kebal dan tak lut.
Kenapa begini?
Imam Ibnu Qayyim rahimahullah menjelaskan bahawa, kata kata isti'azah adalah ibarat pedang. Maka kalau kita amalkan isti'azah tetapi syaitan tidak lari, adakah itu bermaksud pedang isti'azah itu tumpul dan berkarat?
Tentunya tidak. Sebaliknya pedang isti'azah ini amat tajam sekali dan berterusan tajamnya. Namun apa gunanya pedang yang tajam di tangan seorang yang lemah? Berilah orang tersebut segala jenis senjata, tetapi jika yang memegangnya itu lemah dan tidak bermaya maka sia sialah senjata tersebut.
Justeru kita perlu perkuatkan diri kita dengan iman. Agar dapat kita tewaskan musuh kita dan terus maju menghayun langkah, berlari menuju dakapan Allah swt.
Dan Dia lah sumber ketenangan yang hakiki. Allahu a'lam.
No comments:
Post a Comment