I sayang dia dari jauh
Hishamuddin Rais
Sep 3, 04 1:17pm
Selama lima minggu, setiap hari Rabu jam 6.00 petang, saya dan beberapa orang murid tua dan murid-murid yang tidak mahu dituakan dari Kolej Melayu Kuala Kangsar telah membuat ritual di perkarangan Hospital Kuala Lumpur.
Kami memilih hari Rabu kerana hari Rabu ialah hari kabinet kerajaan bermesyuarat. Tradisi hari Rabu ini adalah tradisi Kolej Melayu.
Ritual ini cukup senang - kami hadir dengan berjacket, memakai tali leher Kolej Melayu, berbaris sambil menyanyikan lagu Kolej Melayu dan kemudian melaungkan sorakan resmi MCKK. Ritual ini kami lakukan tidak melebihi dari sepuluh minit.
Ritual ini dilakukan untuk menunjukkan setiakawan kami kepada Anwar Ibrahim yang juga seorang murid dari MCKK yang sedang dituakan politiknya. Ritual yang kami lakukan ini hanya untuk lima Rabu sahaja, tidaklah bertahun-tahun seperti yang telah dilakukan oleh Mothers of Plaza Mayo di Argentina.
Ibu-ibu di Argentina datang ke Plaza Mayo kerana mereka ingin mencari anak dan menantu mereka yang telah hilang dicolek oleh soldadu ditahun 70'an dahulu ketika Argentina dibawah regim militer. Berbanding dengan perjuangan Mothers of Plaza Mayo, apa yang dilakukan oleh murid-murid tua MCKK samalah seperti memakan kueh apam.
Rabu lalu adalah kali akhir kami beritual di hadapan Hospital Kuala Lumpur. Kelmarin, hari Khamis, Anwar Ibrahim yang sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur telah dibebaskan. Dia pulang ke rumahnya di Bukit Damansara. Anwar Ibrahim bebas bukan kerana adanya beberapa orang murid tua dari MCKK yang bertali leher merah-putih-hitam-kuning berani tampil ke pekarangan hospital.
Atau kerana Abdullah Badawi gerun mendengar laungan gempita sorakan resmi MCKK. Juga bukan kerana bil perubatan hospital Anwar terlalu tinggi. Anwar dibebaskan kerana dia tidak bersalah.
Agenda rakyat
Kami yang datang ke Hospital Kuala Lumpur sebenarnya tidak ada tali persaudaraan dengan Anwar. Kami juga bukan bekas ahli Umno, atau ahli Parti Keadilan Rakyat atau bekas calon pilihanraya yang lalu. Kami juga bukan penginding kontrek, bukan bekas atau bakal contract junkies atau penginding tempat dalam Parti Keadilan Rakyat. Kami hanya datang dari sebuah sekolah yang sama. Tetapi apa yang lebih penting disini ialah kami adalah para reformis yang menyokong agenda perjuangan rakyat yang telah di war war oleh Anwar Ibrahim.
Untuk kami agenda rakyat inilah yang maha penting - lebih kuat ikatannya dari ikatan tali leher pengenalan identiti kami.
Kami tidak pernah datang ke mahkamah semasa Anwar dibicarakan. Telinga kami tidak memiliki ruang untuk mendengar persewelan hakim dan para pendakwa.
Tetapi kebanyakan kami akan hadir disetiap perhimpunan haram - ( baca: perhimpunan yang tidak disembelih) - semenjak demo reformasi bermula di Jalan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1998 dahulu. Semua ini adalah tanda setiakawan kami kepada perjuangan rakyat.
Bila Anwar dibebaskan pada pagi Khamis ini, saya sebenarnya sedang nyenyak tidur. Saya tidak pergi ke mahkamah. Saya tahu bahawa kali ini adalah keputusan rayuan akhir untuk Anwar Ibrahim. Dalam masa yang sama saya juga sedar bahawa kali ini dengan desas desus yang kuat tentang kemungkinan Anwar dibebaskan pastilah akan lebih ramai orang-orang yang ingin menunjukkan diri/muka ke muka Anwar Ibrahim.
Di pagi Khamis kelmarin talipon di rumah saya tidak putus-putus berbunyi. Tetapi saya mempunyai displin diri, bahawa saya hanya akan mengangkat talipon selepas jam sebelas dan sesudah saya meminum kopi. Sebenarnya saya ini insan dari jenis dracula yang bagitu 'alergic' kepada matahari pagi.
Malah, sekiranya revolusi berlaku diwaktu pagi pasti saya akan ketinggalan. Lalu saya membiarkan deringan talipon berlalu. Kerana terlalu banyak deringan kedengaran saya menganggap pastilah ada berita baik tentang Anwar Ibrahim. Jangkaan saya ini betul. Saya mendapati ada lima pesanan dalam talipon bimbit saya. Semuanya datang dari murid tua MCKK memberitahu berita baik ini.
Kemudian saya mendapat laporan berita melalui talipon dari beberapa anak muda yang hadir di mahkamah.
Apabila saya membuka BBC di Astro saya melihat laporan dengan lebih jelas. Dari klip berita jam 1.00 tengah hari saya ternampak beberapa muka-muka para reformis yang amat saya kenali. Dan dikeliling mereka saya ternampak muka-muka baru yang amat jarang saya lihat.
Membuka ruang demokrasi
Ah! Apakah ini satu pertanda baik. Lalu saya bertanya apakah gerakan reformasi bahagian kedua akan bermula.
Persoalan ini sering berligar dalam kepala saya. Ini kerana saya menyedari bahawa agenda rakyat - perjuangan yang saya sokong - masih jauh dari tercapai. Untuk saya dan kawan- kawan dalam gerakan reformasi pembebasan Anwar Ibrahim hanyalah sebahagian dari agenda perjuangan.
Untuk kami perjuangan awal ialah untuk menolak buka dinding ruang demokrasi dalam negara ini. Memecah tembok autokrasi dan membuka luas ruang demokrasi adalah induk kepada perjuangan reformasi. Sesudah menonton kesahehan berita dari BBC, saya tidak putus-putus menerima panggilan talipon dari kawan-kawan. Semua ini mengingatkan saya kembali kepada tahun 1998 dan permulaan gerakan reformasi.
Kini Anwar Ibrahim telah dibebaskan setelah enam tahun dalam penjara. Mahathir Mohamad aka Mahafiraun kini telah tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
Tetapi saya merasakan semua ini seolah-olah hanya berlaku semalam dan bukan enam tahun yang lalu. Dan saya telah bersedia sekali lagi untuk turun ke jalan raya untuk memperluaskan ruang demokrasi.
Bila panggilan talipon mula mereda saya teringat kembali kepada satu tulisan saya yang pernah meramalkan apa yang akan berlaku jika Anwar Ibrahim dibebaskan. Mengikut tulisan saya itu, saya wajib duduk di warong Bangsar Utama untuk memerhatikan berapa banyak kereta yang akan menghala ke Bukit Damansara. Untuk membuktikan kesahehan tulisan itu saya telah menapak ke Bangsar Utama.
1998 berulang lagi
Memang betul ramalan saya itu. Di Restauran Maidin di Bangsar Utama tangan saya telah dijabat dengan ucapan terima kasih oleh para pelayan restauran seolah-olah sayalah Tok Hakim yang telah membebaskan Anwar. Tiba-tiba tanpa diminta seorang pelayan telah membawa minum kegemaran saya. Dari sini dapat saya rasakan bahawa gerakan reformasi adalah gerakan popular dan garis perjuangan rakyat masih tepat.
Saya memerhatikan kereta-kereta yang melintasi Bangsar Utama. Sebenarnya amat senang untuk mengenali kereta penyokong reformasi. Mereka tidak pernah berselindung - ada pelekat gambar Anwar, ada pelekat anti ISA, ada logo Parti Keadilan Rakyat, ada logo boikot Utusan Melayu, ada pelekat Press Freedom, ada pelekat malaysiakini, ada tanda bulan - semua ini adalah tanda-tanda kaum kerabat saudara mara dan anak pinak reformasi. Kecuali pelekat wajah Nurul Izzah telah menurun sahamnya dikalangan Mat Rempit. Ini mungkin kerana Puteri Reformasi telah berumah tangga.
Memang banyak kereta para reformis bergerak menuju ke arah Bukit Damansara. Untuk memastikan kesahehan ramalan tulisan saya itu, pada jam lapan malam saya telah pergi berkereta ke Bukit Damansara. Memang betul apa yang saya ramalkan, kereta telah mula bertimbun tambah berbaris-baris mengelilingi perkarangan rumah Anwar.
Di sekitar masjid dan pekan Damansara kereta-kereta telah bersusun. Polis trafik pula telah mula mengarahkan lalu lintas yang semakin sesak.
Seperti yang telah pernah saya ramalkan, Pak Cik penjual burger telah membawa kereta dan membuka perniagaannya betul-butul dipersimpangan Jalan Setia Murni - jalan rumah Anwar. Beberapa buah warong berkereta telah mula dikerumuni pelanggan. Saya juga ternampak tiga orang anak muda Tionghua sedang menjual akhbar Cina keluaran petang.
Orang berjalan kaki bertali arus ke perkarangan rumah Anwar. Ha! Ha! Ha! 1998 sedang berulang sekali lagi.
Saya tidak singgah di Bukit Damansara kerana kami para 'ritualis hari Rabu' dari MCKK telah membuat janji untuk bertemu di pusat kota. Walau pun kami jauh tetapi kami terus diberitahu tentang apa yang sedang berlaku di Bukit Damansara. Terima kasih kepada teknoloji talipon bimbit.
Media membodek?
Di pusat kota saya secara tidak sengaja terjumpa akhbar Star cetakan khas yang melaporkan berita pembebasan Anwar yang diedarkan secara percuma.
Saya juga telah diberitahu bahawa Nanyang Siang Pau juga telah membuat lebih awal cetakan yang sama. Wow! Jeritan ini bukan kerana saya terperanjat. Saya tidak pernah terperanjat apabila membaca tajuk akhbar. Saya menjerit wow kerana saya 'gembira' melihat telatah dan perangai para contracts junkies, para bakal kroni dan para pombodek telah mula hidup semula.
Sebelum ini saya telah diberitahu bahawa beberapa orang tokan, para cukong, para peniaga atas angin dan para commission agents telah mula berligar-ligar mencari tempat yang stratejik untuk meletakkan diri sambil meletakkan kereta atau meletakkan kereta untuk sambil meletakkan diri di Bukit Damansara.
Terlonjaknya bursa saham Kuala Lumpur pada hari Anwar dibebaskan ini pasti mendebarkan hati para cukong yang kerja mereka hanyalah mencari untung dan menimba kekayaan.
Cuba fikirkan selama enam tahun tidak ada pun satu surat khabar, baik akhbar Melayu mahu pun akhbar Cina yang telah melapor secara jujur terhadap apa yang berlaku keatas Anwar Ibrahim. Dan apa pula kata-kata hikmat mereka terhadap gerakan reformasi - semua akhbar menuduh gerakan reformasi sebagai pencetus hura hara.
Tup tup bila Anwar Ibrahim keluar dari penjara ada pula yang membuat akhbar edisi khas konon. Ada gambar Kak Wan dan Abang War sedang tersenyum ranggi terpampang lebih besar dari gambar Mahafiraun. Akhbar ini pula bukan untuk dijual tetapi untuk diberi percuma. Kalau ini bukan langkah membodek namanya mungkin inilah yang wajib kita nobatkan sebagai khidmat para cukong untuk nusa dan bangsa.
Pastilah kita dapat melihat ada kondom MCA disebelah bantal orang Melayu.
Untuk mendapat lebih kepastian, walau pun telah tengah malam, saya telah sekali lagi berkereta menuju ke Bukit Damansara. Saya nampak pelbagai jenis kereta masih banyak tersusun. Orang ramai masih bertali arus - ada yang pulang dan ada yang datang. Kerana saya telah sampai lewat tengah malam maka para penceloteh retorik politik telah berundur mencari air assam jawa kerana suara mereka telah serak.
Saya tidak ternampak susuk Anwar mungkin dia telah berundur rehat. Saya datang kerana ingin melihat dan membaca ambiance politik. Saya amat senang hati bila bersalaman dengan kawan-kawan para reformis yang menganggap pembebasan Anwar ini sebagai satu kejayaan reformasi.
Para reformis kelihatan berkeliaran bebas di sekitar perkarangan rumah Anwar. Pada hemat saya ini satu pertanda yang baik. Atau saya salah baca, mungkin ini hanya berlaku pada hari permulaan sebelum para bakal calon, pengimpit dan penginding tempat politik mengembangkan sayap dan mengenepikan para reformis yang dianggap tidak berkualiti untuk menjadi YB. Mungkin.
Jumpa boss
Saya juga diberitahu tentang kemunculan beberapa ekor politikus bilik mesyuarat. Politikus jenis ini pada satu ketika dahulu amat suka 'menembak' rancangan para reformis yang ingin turun ke jalan raya. Politikus jenis ini telah mula berkeliaran menunjukkan ekor mereka di Bukit Damansara.
Ada beberapa ekor politikus bilik mesyuarat ini yang telah mula berani mengeluarkan celoteh retorik secara terbuka sambil melaung-laungkan slogan reformasi agar didengar oleh Abang War dan Kak Wan.
Alahai, saya ini agak sinikal, seharusnya saya wajib merasa gembira kerana politikus jenis ini telah mula tidak takut kepada ribuan susuk rakyat yang akan merempuh tembuk autokrasi. (Betul ke harapan saya ini.)
Sebelum saya meninggalkan Bukit Damansara saya juga diberitahu tentang kehadiran beberapa watak bekas Umno-bekas Keadilan-kini ahli Umno yang ingin jumpa 'Boss Kita'. Mungkin kerana pesanan talipon bimbit mereka tidak dilayan maka tukang lawak ini telah menebalkan muka untuk hadir ke Bukit Damansara. Atau apa yang dilakukan oleh tukang lawak ini adalah strateji memasang lukah disetiap kangkang.
Tetapi penampilan yang sure heboh sekali dari Bukit Damansara pada malam Khamis ini masih datangnya dari seorang murid tua MCKK. Si Mamat ini adalah seorang bekas menteri kabinet. Tetapi si Mamat ini tidak berani meletakkan jawatan untuk menyokong Anwar. Dia terlalu cintakan kabinetnya sehingga sampai satu ketika dia mula dipinggirkan dalam Umno.
Lalu si Mamat ini mengancam untuk keluar dari Umno. Mengacah-acah untuk menyebarkan berita rasuah. Tetapi ini hanyalah hangat-hangat kencing kuda.
Si Mamat murid tua dari MCKK ini pasti tidak berani menyertai ritual mesyuarat kabinet hari Rabu kami di Hospital Kuala Lumpur. Bila ditanya kenapa sekarang baru berani muncul di Bukit Damansara. Kenapa setelah tidak mendapat kerusi YB baru hendak menunjukkan muka.
Si Mamat ini menjawab, “ sentiasa sokong Anwar, I sayang dia dari jauh.”
Pooorah.
HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Beliau merupakan pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho, Isham adalah lulusan daripada sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi. Kolumnya di malaysiakini - DOTMAI - terberhenti sejak April 2001 selepas penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Isham dibebaskan Jun lalu selepas dua tahun di Kem Tahanan Kemunting. Kini Isham muncul semula dengan kolum DOTMAI KEMBALI di mana beliau akan menulis mengenai isu-isu politik semasa, filem, seksualiti hingga kepada isu estetika kebosanan hidup.
No comments:
Post a Comment