Intima'
Bismillah Ar-Rahmaan Ar-Raheem
Imam As-Syahid Hasan Al-Banna rA ada mengatakan yang lebih kurang bunyinya:
"Mereka (yang terikat dengan amal jama'ie) mampu untuk harungi jalan ini tanpa kita, tapi siapalah kita tanpa mereka?"
Kata-kata yang mengandungi seribu satu hikmah yang tersembunyi. Dan sememangnya kata kata ini benar.
Dalam usaha dakwah dan tarbiyyah mahupun harakah dan tazkiyyah ataupun ta'lim dan tazkirah, jika kita tercicir dari landasan tersebut maka gerabak gerakan itu akan terus bergerak tanpa henti. Memang itu sunnah Allah, seperti bergeraknya bumi mengelilingi mentari.
Usaha dakwah tidak akan cacat tanpa kita di sisi. Bahkan yang bakal tempang sebenarnya adalah diri kita sendiri.
Nah, persoalan sebenarnya sekarang, yang perlu kita tanyai diri sendiri adalah .. siapakah kita tanpa mereka?
Siapakah kita tanpa mereka?
Jawapannya mudah. Jika kita tidak lagi bersama kelompok orang-orang yang soleh dan musleh, maka kebarangkaliannya ada dua.
Pertama; samada memang kita ini seorang individu perkasa yang mampu menjalankan tazkiyyah diri dan islah alami secara bersendirian. Ataupun kedua; kita tidak lagi bersama mereka kerana karektor soleh dan musleh itu sudah tidak lagi melekap dalam jiwa kita, sehingga yang tersisa cuma bayangan silam yang gelap dan tidak lagi bercahaya.
Intima' sesama muslim
Ikhwah akhawat yang dikasihi,
Intima' kita sesama kumpulan orang orang yang soleh dan musleh amat perlu dipelihara. Intima' atau dengan kata lain keterikatan atau keterlekatan; adalah suatu eleman yang mahu atau tidak mahu tidak dapat kita elakkan dari bermain dalam kehidupan kita.
Justeru adalah bijak jika sedari awal, kita sendiri yang membuat pilihan dengan siapa kita mahu berintima'. Ini lebih baik dari kita tertekan dan terperangkap dengan 'peer pressure' atau norma sosial setempat dan persekitaran yang belum tentu sihat dan menyihatkan.
Ulama' haraki telah menyatakan bahawa intima' yang kita kongsi sesama muslim terbahagi kepada 3:
Intima' Aqidah
Pertama adalah ikatan aqidah. Ini adalah asas kepada segala intima' kita sesama muslim. Umat yang satu, menyembah Tuhan Yang Satu.
Atas dasar ini lah kita dapat menghubungkan diri kita menjadi satu umat yang global. Sebab apa kita prihatin dengan isu di Palestina, Chechnya mahupun Indonesia? Kerana ia melibat kan isu umat Islam, yang ter-intima' dengan ikatan aqidah uluhiyyah.
Semakin kuat ikatan uluhiyyah kita, maka semakin kuatlah resonan ukhuwwah kita. Justeru, pabila wujud sedikitpun kocakan pada umat Islam di negara lain, gelombang demi gelombang akan terhasil dalam hati kita. Ini bersesuaian dengan kefahaman yang disimpulkan dalam mutiara hikmah ar-Rasul saw bahawa umat Islam adalah umpama satu jasad, yang jika salah satu anggotanya menangis sakit, maka seluruh anggota yang lain bakal merasai penderitaan.
Intima' Fikriyyah
Ikatan yang kedua adalah ikatan fikriyyah. Sememangnya ini fitrah manusia. Rambut sama hitam, hati lain lain. Natijahnya lahir pemikiran dan personaliti yang pelbagai warna. Justeru, tercabang fikrah salafiyyah, sufiyyah, ikhwaniyyah dan lain lain. Namun ranting ini berasal dari akar yang sama iaitu ketauhidan kepada Allah swt.
Intima' fikriyyah ini penting kerana ia adalah tambahan kepada intima' aqidah. Kita menyedari bahawa dengan tertegaknya ranting intima' fikriyyah maka ia akan membuka pintu kepada buah yang lebih baik. Jika sekelompok individu yang sama frekuensi pemikirannya terkumpul, pasti gelombang yang lebih hebat akan terhasil. Kuasa berganda juga bakal terbit.
Intima' Tanzimiyyah
Intima' tanzimiyyah memerlukan komitmen dan tenaga yang lebih besar. Ia merupakan buah dari intima' fikriyyah atau wihdah al-fikr (kesatuan pemikiran), lantas terhasil wihdah al-amal (kesatuan amal).
Alangkah indahnya apabila kesemua individu muslim mampu untuk terikat dengan intima' tanzimiyyah (ikatan organisasi atau tanzim). Ini adalah ultimate goal, di mana wujud satu isi kerangka sistematik. Wujud dalam intima' tanzimiyyah pemimpin yang adil dan pengikut yang taat, dalam biah (suasana) nasihat dan syura.
Ada wadah dan wajihah yang bersesuaian dengan kondisi masyarakat pada tempat dan ketika itu. Idealisasi intima' tanzimiyyah ini pada tahapan paling tinggi dengan kata lain adalah tanzim Khilafah Islamiyyah.
Pada hari ini, realitinya terwujud tanzim tanzim atau organisasi organisasi atau jamaah jamaah yang pelbagai, kita yakin adalah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan dengan ketidak hadiran tanzim khilafah itu sendiri.
Dan kita juga yakin bahawa insha Allah, tanzim khilafah itu akan tertegak kembali. Ini bakal terjadi, apabila umat islam memahami betapa pentingnya konsep intima' ini dan mempraktikkan intima' tanzimiyyah dalam diri dan secara amali.
Dengan tu, insha Allah warna dunia Islam kan mencorak kembali alam ini, memimpin manusia menuju ke arah ukhrawi. Insha Allah.
Allahu a'lam.
No comments:
Post a Comment