Bismillah walhamdu lillah allazi laa ilaaha siwaah wassolaatu wassalaamu 'ala rasulillah wa 'ala aalihi wa ashaabihi wa man waalaah.
Meresapnya Sebuah Racun Cinta
Cinta mampu untuk menjadi sebuah ubat atau racun bagi seseorang insan. Ini tersangat jelas tika Rasulullah s.a.w menerangkan secara explicit penyakit yang bisa melemahkan umat Islam pada zaman kehidupan kita ini, racun cinta yang bisa meresap dalam jiwa dan mematikan segala cell iman di dalamnya -- itulah penyakit wahn, yang akar umbi nya adalah cinta dunia.
Ramai manusia yang melihat minum arak sebagai salah satu kabaair (dosa besar) dan mencemuh mereka yang terlibat dengan perbuatan ini. Konsumpsi arak membahayakan kerana ia menjadikan akal kita tidak mampu untuk berfikir secara waras dan melahirkan amalan-amalan yang tidak sepatutnya. Namun ramai manusia yang tidak nampak bahawa cinta dunia jauh lebih memudaratkan dari meminum arak. Kerana mabuk dari konsumpsi arak hanya seketika, mungkin kesannya selama beberapa jam, tetapi mereka yang mabuk dengan dunia kesannya berpanjangan dan acapkali mabuk itu hilang hanya apabila sakaratul maut berkunjung datang.
Ada apa dengan dunia?
Guru yang agung, nabi Muhammad s.a.w. memberikan realiti nilai dunia ini dengan mengatakan bahawa jika pada pandangan Allah jalla wa 'ala nilai dunia ini lebih berat dari satu sayap seekor nyamuk nescaya tentulah orang-orang yang tidak beriman Allah hentikan nikmat dunia bagi mereka.
Dunia sendiri berasal dari perkataan daana iaitu membawa maksud sesuatu yang rendah. Memang nilaian dunia ini begitu sedikit dan finite berbanding dengan kehidupan akhirat yang kekal dan infinite. Bahkan seorang ulama' tasawwuf pernah katakan bahawa sebenarnya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan jika seseorang itu sanggup untuk berzuhud dan menolak segala nikmat dunia kerana baginya ganjaran yang berganda lebih besar di akhirat, namun yang sepatutnya lebih memeranjatkan adalah mereka yang memilih untuk mengaut sebanyaknya harta di dunia sedangkan ia hanya sementara dan tidak kekal.
Kaca mata apa yang perlu dipakai untuk melihat dunia?
Jika seseorang hendak melihat kepada sarang labah-labah, terpesona dan mengkagumi keindahannya, menghayati dan meneliti ke'kompleks'kannya, lantas menjalankan kajian dan memusatkan perhatian hanya kepada sarang labah-labah semata-mata -- tanpa mengambil kira dan melihat kepada yang membuat sarang tersebut iaitu si labah-labah, maka tentulah tidak lengkap kefahaman dan penelitian individu tersebut. Menjadi satu fakta bahawa di sebalik setiap sarang labah-labah ada labah-labah di sebaliknya, walaupun labah-labah tersebut tidak kelihatan semasa kita terjumpa sarang tersebut.
Wa lillahi mathalul a'la. Dan bagi Allah adalah perumpamaan yang tertinggi. Dunia ini jika hanya diteliti dengan apa yang terlihat oleh mata kasar, tanpa memikirkan mengenai Pencipta dunia maka adalah satu pemerhatian yang tidak lengkap dan cetek. Perlu disedari pada setiap saat dan ketika, walau di mana jua kita berada bahawa jika di sebalik setiap sarang labah-labah ada labah-labah di sebaliknya, walaupun labah-labah tersebut tidak kelihatan semasa kita terjumpa sarang tersebut, maka apatah lagi dunia dan segala ciptaan di dalam dan luarnya yang jauh lebih kompleks dan mempesonakan, tentulah ada Penciptanya. Ini lah yang perlu ada di jiwa dan minda, setiap saat dan setiap ketika.
Mereka yang terdahulu
Memang tidak dinafikan bahawa wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. personaliti sahabat-sahabat yang kaya, namun yang perlu lebih diingat adalah majoriti sahabat-sahabat r.a. merupakan mereka yang miskin. Saidina Ali r.a. mengatakan bahawa jadikan dunia ini di tangan dan bukannya di hati. Ulama menerangkan kata-kata Imam Ali ini bahawa para sahabat dahulu yang mempunyai harta, mereka letakkan harta mereka di tangan agar mudah diberi kepada yang memerlukan, dan bukannya di hati yang mana jika hendak diberi payah kerana terlekat dengan cinta dunia yang sudah berakar umbi di hati.
Rasulullah s.a.w. sendiri hidup dalam keadaan yang apabila baginda balik ke rumah, ditanya kepada isterinya apakah ada makanan .. jika ada baginda makan, jika tiada maka baginda berpuasa s.a.w. Perabut rumahnya yang tiada melainkan selimut yang diperbuat dari kulit kambing dan tilam yang diperbuat dari pelepah kurma.
Tradisi ini diwarisi oleh sahabat baginda yang rapat Abu Bakr as-siddiq r.a., yang dahulu sebelum Islam berada, namun selepas Islam diberikan seluruh hartanya ke jalan Allah. Pernah satu ketika sehinggakan pakaian Abu Bakr hanyalah dari kulit kambing dan butang nya diperbuat dari duri. Telah ditambah dalam riwayat yang lain bahawa malaikat pada waktu tersebut turun ke bumi dengan berpakaian dari kulit kambing dan hanya berbutang kan duri sebagai pernghormatan kepada Abu Bakr r.a.
Umar al-Faruq r.a. tatkala bertandang ke rumah Gabenor Syam, Abu Ubaidah al-Jarrah, dilihat makanan yang ada di rumahnya hanya kerak-kerak roti sahaja, di rumahnya tiada kebendaan, maka menangislah Umar melihatkan kehidupan Gabenor Syam.
Umar r.a. sendiri tika memasuki dan menawan Palestin, pakaiannya bertampal-tampal. Pada waktu itu juga, perjalanan beliau ke Palestin bersama temannya, separuh berjalan dan separuh menaiki kuda kerana kuda tunggangan hanya satu manakala mereka berdua, maka mereka bergilir-gilir berkongsi menaiki kuda tersebut. Ini tercatat dalam buku sejarah, sehinggakan apabila tiba saat untuk memasuki Palestin ramai yang menyangka teman Umar sebagai khalifah Umar kerana pada waktu itu giliran temannya di atas kuda manakala Umar berjalan dengan baju yang tertampal-tampal di sampingnya.
Khalifah Umar Abdul Aziz, pernah meminta isterinya satu dirham agar dapat dibeli anggur kegemarannya. Khalifah yang di bawahnya satu empayar menghampiri dua pertiga dunia meminta isterinya untuk wang satu dirham! Dan lebih memeranjatkan, isterinya menjawab bahawa dia sendiri tidak ada wang satu dirham! Subhanaaka ya Rabb.
Sememangnya, para sahabat Rasulullah s.a.w. setelah baginda s.a.w. wafat, sentiasa menangis apabila diberikan peringatan oleh sahabatnya yang lain mengenai cinta dunia yang meresap ke dalam hati. Ada yang menangis dari malam sehingga ke pagi tika diingatkan dengan perkara ini.
Di manakah air mata kita? Adakah telah gelapnya jiwa, matinya hati? Adakah kemabukan dunia masih tidak hilang dari fikiran kita? Bagi yang air mata sudah membasahi pipi, adakah hanya cukup dengan tangisan?
Allahumma la 'aysha illa 'aysha al-aakhirah.
No comments:
Post a Comment