Tuesday, October 07, 2003

MEMBETULKAN NIAT MENUNTUT ILMU

Oleh : Ustaz Mohd. Asri b. Zainul Abidin

Sabda Nabi SAW:

Maksudnya: Daripada Ka’b bin Malik R.A., katanya: Aku mendengar RasululLah S.A.W bersabda: “Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orangramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka." *1

Tujuan menuntut ilmu agama adalah untuk keluar dari kejahilan demi mencari kebenaran dan berpegang kapadanya. Juga untuk menegakkan kebenaran dan membelanya. Demikian tugasan dan tanggungjawab talib al-`lm dan ulama. Menuntut ilmu adalah ibadah dan ianya membawa insan muslim ke syurga. Namun ada di kalangan manusia golongan yang ingin bermegah-megah dengan ilmu agamanya, bukan untuk kebenaran tetapi sekadar untuk menaikkan diri dan kedudukannya sahaja. Dalam hadith ini disebut tiga niat buruk yang menyebabkan penuntut ilmu agama dihumban ke dalam neraka.

Pertama: iaitu untuk bersaing dengan ulama.

Kata al-Imam Ibn Athir (wafat 606H): “Maksudnya ialah untuk dia bersama ulama di dalam perbahasan dan perdebatan bagi menzahirkan ilmunya kepada orang ramai dengan tujuan riyak dan sum`ah (inginkan kemasyhuran)” . *2

Turut berbincang dan berbahas dalam majlis ulama atau dengan para ulama bukanlah suatu kesalahan. Apatah lagi lagi jika seseorang itu benar-benar berkemampuan. Islam menggalak kebangkitan ilmu dan generasi intektual yang baru. Islam mengalu-alukan ijtihad yang baik dan memenuhi tuntutan. Namun yang salah ialah pada niatnya yang ingin menjadikan ilmu sebagai jambatan kesombongan dan ketakaburan. Ilmu yang sepatutnya membawa dirinya kepada syukur dan insaf dijadikan sebagai punca sikap bangga diri dan menunjuk-nunjuk.

Kesannya niat sangat buru sangat bahaya; orang yang seperti ini hanya mementing dirinya sahaja bukan kebenaran fakta. Dia hanya ingin menegakkan hujahnya untuk menaikkan namanya bukan untuk kebenaran yang Allah redhai. Jika dia melihat kebenaran di pihak lain dia akan menolak dan mencari dalih yang baru demi menjaga kemasyhuran namanya. Maka tempat orang seperti ini di dalam neraka. Kata al-Imam al-Tibi (wafat 743H): “Maksud hadith ini ialah dia tidak menuntut ilmu kerana Allah, sebaliknya untuk dia berkata kepada para ulama: “Aku ini berilmu seperti kamu”, kemudiannya dia takabur dan meninggikan diri pada orang ramai. Ini semuanya (sifat) yang tercela dan azab siksa akan dikenakan kepadanya” . *3

Kedua: untuk bertengkar dengan orang jahil.

Kata Imam al-Munawi (meninggal 1031H): “Maksudnya ialah untuk dia berhujah dan bertengkar dengan mereka secara sombong dan membanggakan diri” . *4

Niat buruk kedua dalam menuntut ilmu agama ialah menuntut ilmu dengan tujuan untuk bertengkar dengan orang yang jahil kerana ingin menunujukkan kehebatannya. Sedangkan antara tujuan ilmu ialah untuk menyelamatkan orang jahil agar menemui kebenaran. Ini kerana akal golongan yang jahil sangat terhad dan memerlukan bimbingan. Namun ada golongan yang menuntut ilmu untuk bertengkar dengan golongan jahil ini dan menunjukkan kehebatannya kepada mereka. Orang yang jahil yang terhad ilmu dan akalnya pasti menyangka dia hebat. Mungkin hal ini tidak dapat dilakukan di hadapan ulama maka dia mencari ruang di kalangan orang jahil.

Sebenarnya berbahas, atau berhujah, atau berdebat itu sendiri bukanlah perkara yang terlarang dalam syariat, tetapi ianya mestilah dengan cara yang baik dan membawa kesan yang positif. Bukan untuk kesombongan dan ketakburan tetapi untuk membimbing manusia kembali kepada hidayah . Firman Allah dalam Surah al-Nahl ayat 125:

Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lebih mengetahui siapa yang mendapat hidayah petunjuk."

Kata al-Tibi: “maksud: berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik ialah dengan cara yang terbaik dalam perdebatan, iaitu dengan lunak dan berlemah lembut tanpa bersikap kasar dan keras. Ini kerana golongan yang jahil itu kurang pertimbangannya ." *5

Ketiga : agar dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya.

Ini niat buruk yang ketiga iaitu menuntut ilmu agar mendapat habuan, harta dan pangkat. Dia menjadikan pengetahuan agama untuk mencari populariti atau mendapat kedudukan dan jawatan. Menjadikan orang ramai tertarik kepadanya. Orang yang seperti ini sebenarnya bersedia untuk menjual agamanya untuk habuan dunia yang dia buru.

Kesalahannya bukan kerana dia mendapat habuan dunia atau kemasyhuran tetapi niatnya yang memburu dunia dengan mempergunakan agama itu adalah suatu kesalahan.

Jika menjelmanya tiga niat buruk ini dalam jiwa pemegang amanah ilmu maka ilmu tidak lagi menjadi cahaya yang menerangi kegelapan, sebaliknya ilmu akan dijadikan jualan untuk mendapatkan habuan. Oleh itu Nabi S.A.W. menjanjikan tiga niat buruk ini dengan neraka. Dalam hadith yang lain baginda menyebut:

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah; Sabda Rasulullah S.A.W.: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari redha Allah Azza wa Jalla, tetapi dia tidak mempelarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat." *6

Pengajaran Semasa

1. Semua para penuntut ilmu syarak pada zaman ini di semua peringkat hendaklah membersihkan niat asal mereka dalam menuntut ilmu. Jika golongan ilmuan Islam dapat dipulihkan niat mereka agar bersih dan mencari redha Allah S.W.T. pastinya Islam akan terbela dan setiap yang mempermain-mainkannya akan terjawab.

2. Kemunculan individu dan NGO tertentu yang cuba menjadikan nas-nas agama sebagai sendaan adalah terbit daripada salah satu dari tiga niat di atas. Mereka ini bukan sahaja tidak mencukupi ilmu pengetahuan agamanya sebaliknya mereka gagal membersihkan niat mereka dalam menuntut ilmu syarak atau ketika membaca bahan agama.

3. Kelahiran tokoh-tokoh agama ‘segera’ yang mengajar agama di surau, masjid dan sebagainya tanpa mendalami ilmu-ilmu Islam dan disiplin setiap ilmu adalah berpunca dari niat ingin menzahirkan diri sekalipun mereka tidak layak. Sebahagian mereka memangnya mempunyai sedikit pengajian agama. Namun niat ingin segera muncul di khalayak ramai menjadikan mereka tergesa-gesa menjadi guru orang ramai sebelum mereka meguasai ilmu. Maka lahir fatwa-fatwa yang menyanggahi kitab Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W.

4. Orientalis telah memperdayakan umat Islam dalam persoalan niat menuntut ilmu ini. Maka kita dapati pada hari ini ramai yang memiliki sijil agama sehingga ke peringkat kedoktoran falsafah dari dunia Barat dengan ‘berguru’ kepada Yahudi atau Kristian. Sikap tidak mementing ilmu dan ingin segera memiliki sijil segera dan memperolehi habuan dunia menjadikan sebahagian mereka mengambil jalan pintas dengan berguru kepada musuh-musuh agama dalam bidang agama. Kebanyakan mereka pulang ke dunia umat Islam dengan membawa pemikiran yang beracun. Secara sedar atau tidak mereka ini hari demi hari hanya menambahkan keraguan jiwa mereka terhadap agama, demikian juga mereka sebarkannya kepada umat Islam. Sebab itu seorang tabi`I besar Muhammad bin Sirin ÓíÑíä (wafat 110H) menyebut:

Maksudnya: “Sesungguhnya ilmu ini (mengenai Al-Quran dan al-Sunnah) adalah din (agama). Oleh itu perhatilah daripada siapa kamu semua mengambil agama kamu.” *7

Bayangkan bagaimana dipelajari aqidah Islamiyyah daripada guru yang kafir yang tidak percayakan Islam, bagaimana dipelajari tafsir daripada guru tidak percayakan al-Quran, bagaimana dipelajari hadith daripada guru yang tidak beriman dengan Muhammad sebagai Rasul, bagaimana dipelajari fekah daripada guru yang tidak pernah mengamalkan hukum-hakam syarak. Namun kepada hanya kepada Allah kita mengadu betapa anak-anak umat Islam yang mendapat kelulusan agama dengan panduan mereka yang tidak beriman kepada Islam. Mereka pulang dengan membawa gelaran-gelaran ilmu, namun sebenarnya sebahagian mereka hanya membawa racun kepada umat Islam.

-------------

*1 - Riwayat al- Tirmizi, Ibn Majah daripada Ibn `Umar, al-Hakim daripada Jabir bin `Abdillah. Al-Hakim mensahihkannya dan setujui oleh al-Zahabi (lihat: Al-Mustadrak 1/272, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut). Ada perselisihan dalam menentukan kedudukan hadith ini, namun hadith ini mempunyai syahid (pembuktian daripada riwayat lain) yang menjadikannya pada darjah sahih.

*2 - Ibn al-Athir, Al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa Al-Athar, 1/256, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut

*3 - Al-Tibi, Syarh al-Tibi `ala al-Miskah al-Masabih, 1/420, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut.

*4 - al-Munawi, Faidh al-Qadir, 6/176, cetakan al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, Mesir.

*5 - Al-Tibi, op.cit. 1/420.

*6 - Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Nawawi mensahihkannya dalam Riyadh al-Salihin (lihat: Ibn `Allan, Dalil al-Falihin, 4/191 cetakan Dar al-Fikr, Beirut)

*7 - Riwayat Muslim pada muqaddimah sahihnya.

http://ibn-qaiyim.al-ahkam.com.my/

No comments: