Optimum Motion - in a Balance Between Khauf and Raja'
Kajian psikologi telah membuktikan bahawa pelajar yang mengalami terlalu banyak aprehensi (dibaca: 'apprehension') semasa peperiksaan mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk tidak dapat menjawab soalan dengan baik. Ini kerana kerisauan yang terlalu tinggi akan menyebabkan fikiran sesorang terlalu berkecamuk ataupun membawa diri individu tersebut ke tebing putus asa.
Kesan negatif juga akan timbul jika seseorang itu mempunyai terlalu sedikit aprehensi. Ia mengakibatkan seseorang itu tidak ambil peduli tentang keputusan peperiksaan justeru hanya mengambil peperiksaan sambil lewa tanpa menyedari konsekuensi dari peperiksaan yang diambil.
Keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akan diperolehi bilamana elemen aprehensi ini berada dalam kadar yang mencukupi.
Aprehensi dan Harapan
Dari sini kita dapat kesimpulan bahawa, aprehensi dan pengharapan - adalah dua elemen yang terlalu penting bagi memastikan kejayaan individu dalam sesuatu ujian. Skop ini sebenarnya dapat kita perbesarkan dalam ujian kehidupan yang kita lalui setiap saat dan ketika.
Harapan memberikan manusia kehidupan. Ia memberi semangat kepada individu untuk meneruskan pernafasan, menyuntik semangat perjuangan, agar sentiasa berada dalam pergerakan. Jika harapan kosong dari jiwa, maka saat seseorang individu terjatuh maka terus ia berputus asa. Terus ia merintih dan mengeluh, aaahh apakah nasib malang yang menimpa dirinya! Lantas ia terduduk menangis. Kaku dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Sebaliknya, dengan wujudnya harapan, saat di mana manusia terjatuh dan terluka, ia mampu untuk bangkit kembali dan mengatakan aahhh tidak mengapa, pasti ada saat yang lebih cerah di hadapan. Hari esok pasti cahaya kan datang jua! Lalu terus ia hayunkan langkahnya semula.
Aprehensi pula resepi bagi kejayaan. Saat ia sedang bergerak, dipastikan gerakannya hati-hati. Takut-takut semasa memandu dirinya dalam kembara kehidupan akan terlanggar dengan mana-mana objek lain di jalanan. Dikhuatiri, terjatuh ke mana-mana lubang yang nanti melukakan. Ditakuti, tercalit dengan mana-mana lopak yang mengotorkan. Dipastikan agar bekalan yang dibawanya mencukupi untuk sampai ke destinasi. Hasilnya, gerakannya akan teratur dan tersusun, lantas berjaya sampai ke destinasi yang dituju.
Sebaliknya, jika tiada aprehensi dalam individu seseorang maka ia akan memandu dirinya sehari-hari secara sembrono. Acapkali berlaku pelanggaran dengan yang lain. Jikapun dia tidak terluka, kemungkinan objek yang dilanggarinya itu tercedera parah. Paling tidakpun, pergeseran yang terjadi meninggalkan haba atau calaran luka yang mungkin hilang atau mungkin menjadi parut buat selamanya. Nasibnya baik jika selepas pelanggaran ia masih mampu untuk bergerak, namun mungkin gerakannya tidak akan berpanjangan, kerana baru ia sedar bahawa dia tidak menyediakan bekalan yang mencukupi dalam kembaranya yang panjang.
Secara amnya, perkara ini benar dalam hampir kesemua perkara.
Khauf dan Raja' dalam 'Ibadah
Secara khusus, konsep aprehensi(khauf) dan harapan(raja') ini teramat penting dalam pekerjaan ibadah kita.
* Ia memerlukan kita mempunyai khauf ; keberhati-hatian dan ketakutan - agar amalan kita tidak terjatuh kepada riya', 'ujub, sum'ah dan segala penyakit hati yang lain. Cuba kita renungi, destinasi kita adalah menuju Allah s.w.t., dan Allah itu suci, maka bagaimanakah amalan yang terpalit dengan kekotoran hendak diterima oleh Allah? Kerana itu usaha pembersihan hati dan pembersihan amalan amat perlu dititik beratkan. Juga perlu berhati-hati agar amalan kita adalah di atas jalan yang betul (dibaca: mengikuti sunnah). Kerana jika kita berada di jalan yang salah, mana mungkin amalan kita sampai ke destinasi yang dituju.
** Raja' pula memastikan agar kita tidak berputus asa dalam membuat amalan, sentiasa yakin bahawa Allah itu penerima taubat dan penyesalan. Sentiasa yakin bahawa Allah itu sentiasa menerima amalan. Jika ibadah kita benar-benar kita ikhlaskan, nescaya pasti Allah akan tutupi segala lubang kekurangan dengan cahaya rahmatNya. Jika tawbah kita benar-benar dengan penuh air mata sesalan, maka pasti Allah sucikan segala kekotoran dengan nur ghaffarNya. Itu pasti.
(maka * dan ** akan sentiasa berada dalam kitaran).
Tambahan bagi mereka yang benar-benar ingin hayati dan akali
Bagi amalan ibadah, jika t1 sehingga t2 menjadi tempoh bagi sesuatu pekerjaan, maka formula yang terbaik untuk memastikan keberlangsungan ibadah dalam pergerakan yang optimum adalah :
a) ketika t < t1 maka harapan (raja') perlu lah lebih sedikit berbanding aprehensi (khauf) agar ia dapat hasilkan 'push' yang mencukupi untuk menggerakkan hayunan langkah yang pertama.
b) ketika t1 < t < t2 :: maka di sini memerlukan keseimbangan antara khauf dan raja' agar ia dapat menghasilkan gerakan yang berterusan dan keputusan yang optimum.
c) ketika t > t2 :: maka di sini diperlukan khauf yang lebih tinggi berbanding raja'.
Dan yang paling utama ingatlah, bahawa sumber khauf dan raja' kita hanyalah .. Allah, wahdah, laa shareekalah.
- 'Ibad Ar-Rahmaan -
No comments:
Post a Comment