Monday, October 11, 2004
MAWAS RAKSAKSA & SI PEMAKAI TOPENG
OLEH FAISAL TEHRANI
TUAN presiden bermimpi ngeri, Michael Moore telah memenangi anugerah tertinggi di Pesta Filem Cannes. Kemudian David Letterman telah mengundang lelaki gemuk itu untuk mentertawakannya di dalam rancangan lewat malam. Letterman dan Moore telah memanggilnya mawas dan penonton pun ketawa bersama-sama. Perkataan itu dieja lambat-lambat untuk tujuan mengejek: M-A-W-A-S.
Apabila tuan presiden terjaga, separuh menjerit, separuh tersedak dia mengejutkan isterinya Laura. Laura buat seketika terpisat, membetulkan fesyen rambutnya supaya kekal anggun. Seperti wanita-wanita pertama yang setia, Laura pun memujuk suaminya supaya tidak terlalu takut. “Ala nama pun mimpi. Kita mengantuklah, nak tidur lagi.” Laura menguap.
Tuan Presiden menempik kuat, bingung juga bengang dengan reaksi selamba Laura. Tempikan itu menggegar seluruh Rumah Putih.
“Okaylah. Suka buat bising pagi-pagi tau. Mimpi apa sayang?” Laura bangun seraya membetulkan gaun tidur yang nipis. Perempuan itu berjalan gemalai semula ke tubir katil membawakan segelas susu segar dari peti sejuk kecil.
“Kenapa madu?” Tanya Laura lagi. Sedikit mendesak. “Tadi terpekik-pekik macam king kong.”
“Aku telah bermimpi menjadi mawas. Seekor mawas yang hodoh, mawas raksaksa yang terlalu agam dan terkeruk-keruk seperti beruk. Itu mimpi yang sangat ngeri sekali.”
Tuan presiden mengesat peluh di dahi, mengemaskan ikal rambut yang kucar dan menggetap bibir dari terus terketar. Susu itu disuakan. Tuan presiden mengesip-ngesipkan mata, menyambut susu dan meneguk terburu-buru. Tertumpah sedikit susu membasahi kain seluar di bahagian kelangkang.
“Sayang minumlah perlahan-lahan. Macam monyet…” Laura mengusap rambut suaminya sambil ketawa lembut-lembut. Tuan presiden menepis tangan Laura. Perkataan ‘monyet’ dan ‘king kong’ menyinggung perasaannya. Senyuman manis seperti madu dikuntumkan membuatkan tuan presiden hilang gamam untuk seketika.
Tuan presiden menghela nafas. Cuba bertenang.
“Suka sangat bila minum ke atau makan ke dengan gopoh. Dulu nyaris tak mati tercekik biskut.” Laura menggigit bibir bawah semacam geram. “Buat malu dengan Saddam dan Osama saja tau.”
Tuan presiden dilanda geram. “Mimpi itu ngeri sekali!” Kata tuan presiden lagi, meski meninggikan suara ia lebih bertujuan untuk menagih simpati isterinya.
Laura menyeluruhi tuan presiden. Memegang pipi suaminya, mengelus lembut dahi dan memicit dagu. Tuan presiden membiarkan. Jantung berdebar. Laura perlu mendengar. Mimpi itu seperti sesuatu yang benar.
Laura membulatkan mata, membiar retina mata bertentangan. “Sayang, kau memang seekor mawas. Mawas raksaksa. Kenapa pula perlu berasa ngeri?” Laura ketawa kecil, semacam menggoda.
Tuan presiden terjegil sedikit, minum susu lagi dengan gopoh. Laura masih menggulakan senyuman yang dirasai masih tawar. “Cuba suluh depan cermin tu.”
Tuan presiden bangun terburu-buru, berdiri di hadapan cermin dan menggeletar cemas, paluan jantungnya melaju, gigi atas bawah berlagaan dan lutut terasa amat lemah. Imej yang terpantul di cermin ialah seekor mawas, berbulu perang menutup seluruh muka, sepenuhnya, dalam pijama yang basah di celah kelangkangnya. Dia lihat seekor raksaksa yang buruk, hodoh, bibirnya tipis, hidung itu pesek secara amat memualkan dan matanya kesepetan.Presiden meraung, menjerit, melaung,meronta-ronta dan terasa pandangan semuanya gelap. Pengsan.
Apabila dia terjaga semula, dia di atas katil dengan Laura duduk mengesat air mata di sisi, anak-anak yang terkebil kebil, doktor khas mengangguk-angguk seolah bersyukur, paderi gendut yang melekapkan kitab di dada dan Ketua Majlis Keselamatan berkulit hitam tetapi masih mahu bergaun merah cili. Presiden menyeluruhi mereka satu persatu.
Dalam gagap, sedikit tersangkak dan nada haru dipekati sebak bersuara getar, “Kalian telah lama tahu yang aku seekor mawas?”
Laura mengesat air mata pilu. “Dah lama dah.”
Tuan presiden pejam mata, kecewa, benar, ia bukan mimpi. Dia harus mendepani hakikat ini. Dia ialah seekor mawas raksaksa. Memang rasa hampa amat menekan tetapi dia berusaha memujuk hati. Ini ialah satu hukuman barangkali. Kebimbangannya ialah pilihanraya yang sudah terlalu dekat.
Dia tidak akan dapat memenangi hati rakyat tentunya. Orang ramai tidak akan mahu mengundi seekor mawas, siamang, beruk, kera, monyet, chimpanzee, ungka atau babun sepertinya. Manusia tentu sahaja mahukan seorang manusia yang manusiawi memimpin mereka. Mawas tidak akan dapat keluar berkempen memenangi hati rakyat, ‘Celaka, konvensyen Republikan sudah amat hampir’, getus hatinya gusar.
Terlalu banyak yang berbuncah bergalau bersesak menyesakkan ruang di dalam cepu fikir. Bagaimana menjadi seorang presiden begini? Dia tidak akan dapat berucap lagi di hadapan televisyen meskipun berkali-kali kesasar menyebut nama penjara Abu Gharib sebagai abugebu atau abugebeh atau abugebi atau abubabi.
Dia tidak akan dapat keluar ke mana-mana pun, tidak dapat ke Capitol Hill, dia tidak akan dapat memenuhi undangan pertemuan pemimpin Nato di Istanbul bulan hadapan atau mendakap hangat si pendek gemuk dari Tel Aviv, dia tidak dapat muncul di khalayak – dalam erti kata lain dia tidak dapat buat satu apa pun!
Buat seketika tuan presiden menangis semau-maunya. Air mata itu berjujuhan. Pulas dia menangis puas-puas sehingga merah-merah biji mata. Ketua Majlis Keselamatan Negara berdehem setelah kira-kira satu jam dia melalak tersedu-sedan sambil berpeluk-pelukan dengan Laura dan anak-anak.
“Tuan, hidup mesti diteruskan. Meskipun tuan seekor mawas tetapi tuan memerintah dan memimpin sebuah kuasa besar dunia. Jangan malu. Buatlah muka tak malu. Tuan tidak sepatutnya segan atau terkedu. Meskipun tuan punya banyak bulu, tuan tetap seorang presiden. Marilah bekerja terus untuk menguasai dunia ini sehingga tidak ada seinci pun yang tidak akan tunduk kepada kita. Tuan presiden, tuan tidak boleh berasa rendah diri. Lawan tuan dari parti Demokrat yang bernama John Kerry itu bukanlah hebat sangat.” Perempuan kulit hitam, bergigi besar dengan pakaian serba merah (warna cili) mengeluarkan ucapan yang berapi-api hingga tempias air liurnya berhujanan rebas menimpa muka tuan presiden yang masih mengugu kesedihan.
Tuan presiden seolah-olah menerima satu pencerahan yang penuh tanggungjawab lalu menyerap setiap kata-kata Ketua Majlis Keselamatan Negara. Dia berasa terpanggil untuk bangkit dari rasa rendah diri. Dia penah menjadi tukang sorak semasa di sekolah menengah, dia harus bangun dan kembali bersemangat. Maka tuan presiden pun keluar dari gebar tebal, berdiri di hadapan cermin.
“Betul, meskipun aku seekor mawas. Aku seekor mawas yang memimpin sebuah kuasa besar dunia. Sesiapa sahaja di dunia akan kecut perut mendengar namaku, aku berhak melabel sesiapa sahaja sebagai raksaksa…”
Laura mendekati suami. “Benar sayang. Abang bukan mawas raksaksa…orang lain sebenarnya mawas raksaksa…abang boleh tuduh siapa sahaja mawas, kabinet abang boleh membantu sepenuhnya. Manusia pun boleh abang katakan mawas kerana kuasa menuduh itu ada pada abang.”
Tuan presiden mengangguk. Mengemas-ngemas pijamanya, menyikat rambut ke belakang dengan tangan. “Betul…sekarang apa yang harus aku lakukan?”
Bertitik tolak dari pertanyaan itulah. Beberapa bulan kemudian dia menjadi kembali kuat dan ada keyakinan diri. Spin doctor juga cuba membantu. Peduli apa kalau aku seekor mawas pun? Pertanyaan keramat itu juga telah membolehkan tuan presiden memberanikan diri keluar di khalayak ramai untuk berucap secara siaran langsung kemudiannya: “Meskipun saya seekor mawas tetapi ada mawas lain yang mesti dibanteras!”
John Kerry yang berwajah manusia telah menuduhnya mawas yang sukakan perang. ‘Mawas dari parti Republikan memang sukakan perang. Jika saya dilantik sebagai pemimpin saya akan memanusiakan kembali semua ini. Saya akan bekerja rapat dengan Kyoto Protocol. Saya akan memperbaharui semula hubungan dan menghormati orang lain dan tidak akan sesuka hati lag menuduh sesiapa yang dikehendaki sebagai mawas.’
Tuan presiden sangat marah, tidakkah rakyat negara yang hebat ini tahu, atau tidakkah seluruh dunia tahu (khususnya bangsa Arab) bahawa parti Demokratlah parti mawas siamang ungka dan parti beruk yang paling hebat? Parti Demokrat ialah parti perang. Dalam perang Mexico, presiden James K Polk, ahli Demokratlah yang melancarkan perang. Perang dunia, kedua-duanya, dikerah oleh presiden dari parti Demokrat. Perang dingin, perang Korea dan perang Vietnam dicetuskan oleh presiden dari Demokrat. Krisis misil Cuba dimulakan oleh Presiden John F Kenndey juga seorang Demokrat. Bill Clinton yang menceroboh masuk Bosnia Herzegovina dan Kosovo tanpa mandat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga dari Demokrat. Bill Clinton juga menyerang kilang susu di Khartoum Sudan dan kemudian menuduh ia sebuah kilang membuat senjata pemusnah besar-besaran. 22 perang besar dan kecil dimulakan oleh Demokrat. Republikan hanya memulakan tiga. Perang membebaskan Kuwait, perang ke atas Taliban di Afghanistan dan perang di Iraq sekarang.
Tiga sahaja. Siapa mawas perang?
Akan tetapi rakyat tidak makan hujahnya, bangsa-bangsa lain di dunia lebih menaruh harapan pada John Kerry. Dia manusia. Dia akan bawa perubahan, arghh kononnya!
Tuan presiden sekarang ialah seekor mawas. Mawas bukan manusia. Mawas tidak boleh memimpin manusia.
Tetapi dia menerima nasib seperti bapa mawas. Dia kalah. Beberapa bulan kemudian, John Kerry memenangi pilihanraya dan dia amat kecil hati kerana ditewaskan dengan tipis sekali. Dia pulang ke kampungnya di Texas sambil memujuk hati, meskipun dia mawas, dia adalah mawas yang bertanggungjawab dan hebat dalam mempertahankan negaranya dari serangan pengganas. Itulah yang dia semat di hati.
Pada pagi John Kerry mengangkat sumpah sebagai tuan presiden baru, di hadapan cermin, dia membetulkan tuxedo dan merapikan rambutnya. Teresa, isterinya datang dekat membawakan topeng. “Jangan lupa mengenakan topeng ini. Manusia dan seluruh dunia tidak perlu tahu yang awak seekor mawas sehingga tiba masanya nanti.”
John Kerry tersenyum simpul, mengucup dahi isterinya dan bersuara lembut. “Terima kasih sayang. Benar mawas yang bijak ialah mawas yang bertopeng. Kita tentu tidak mahu orang berasa takut awal-awal lagi bukan?”
Mawas bertopeng melangkah keluar dan bertekad untuk memimpin manusia. Dalam hati tersedik, ‘Fuhh alangkah bodohnya dunia!’
Cerpen ini tersiar di Mingguan Malaysia pada 11 Julai 2004
No comments:
Post a Comment