Sunday, October 26, 2003

Ramadhan Kareem

Ramadhan kareem buat Mama, Abah, Mar dan Irah serta teman-teman tercinta. Bulan ini bulan keampunan dari Tuhan, namun tidak lengkap jika masih ada dosa tersisa sesama insan. *pilu*

Minta maaf zahir batin dari lubuk hati buat Mama, Abah dan famili serta teman-teman yang dikasihi. Please forgive me. May Allah forgive me, and each and everyone of us. Allahumma ameen.



Muhammad Bakhtiar wrote:

Salam,

Rombongan dari Pulau Pinang berangkat pada pukul 8:30 pagi dan sampai di Chepir pada pukul 10:15 pagi. Setelah tiba, dijamu kopi o dan ada sahabat yang membawa karipap, bengkang, nasi lemak dan roti canai Kg Melayu. Selesai breakfast, punggah barang dari dua buah lori Exacmust yang membawa 300 bungkusan makanan, hamper, baju-baju yang masih baru yang belum dipakai, air mineral, kotak buah kurma dsbnya. Tauke Exacmust, Saudara Khir juga turut serta bersama ayahanda Cikgu Ismail Pachee. Selesai urusan logistic, kami pergi ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Jumaat. Selesai solat Jumaat, kami pulang ke markas dan terkejut makanan dah tersedia dan hairan tukang masak ni tak pi solat Jumaat ke, rasa bersalah pulak kerana mereka terpaksa menyediakan makanan tengahari untuk rombongan kami. Kami bersangka baik, mungkin mereka pulang awal daripada kami. Lunch special, nasi dengan gulai ikan talang masin, ikan talapia bakar (manis sungguh ikan ni, tak hanyiar pulak), ulam-ulaman, kerabu, walaupun simple tetapi kawan-kawan tak bagi chan, ada yang tambah sampai empat kali. Orang kampung puas tengok orang pekan makan sekenyang-kenyangnya. Selapas makan, perut terasa berat, namun dikerah semua orang supaya menunaikan tanggungjawab menjalankan program masuk kampung memberi bantuan dengan dipecah kepada 8 kumpulan mengikut kampung-kampung di sekitar Chepir seperti Kampung Radek, Lubuk Tualang, Kg Jelutong, Bendang Man, Kg Belimbing, Charok Sireh dan ada yang kampung-kampung lain yang saya tak ingat nama. Mereka pergi dengan seorang wakil membawa rakan-rakan kita masuk kampung pergi rumah ke rumah.

Disinilah sahabat2 kita bertemu dengan mereka yang benar-benar miskin.

Keadaan rumah begitu memilukan, belum diamati kisah kehidupan mereka yang perit, janda beranak lapan, janda beranak enam, memang common di sini, rumah berdindingkan kain dan buluh adalah biasa. Kebanyakan penduduk disini ialah penoreh getah atau pesawah, dan mereka yang membuat kerja kampung. 100% penduduk Chepir ialah Melayu dan mereka bercakap pelet Patani sedikit-sedikit macam Kelantan. Mereka tak kata "hang" sebaliknya menggunakan "mu", macam Kelantan, tak kata "ayak" tapi "aer". Remaja yang turut serta terkejut tak pernah mereka melihat keadaan yang begitu teruk dan melarat seperti ini di Pulau Pinang. Ini satu pengajaran buat mereka, bahawa mereka patut bersyukur dengan keadaan yang ada. Saya rasa adik Mujahid, anak Dr.Razif yang paling muda yang turut serta bersama abangnya Mukhlis, entah apa yang diceritakan kepada ibu-ayahnya. Setelah selesai menghulurkan bantuan dan kepenatan, semua pulang semula ke markaz membawa bermacam-macam cerita. Maka duduklah mereka sambil menikmati biskut kering dan air mineral membuka cerita masing-masing. Kemudian seorang-seorang bapa angkat menjemput anak angkat mereka pulang ke rumah masing-masing, kita bagi satu hamper untuk satu keluarga angkat.

Kami berkumpul semula di Masjid untuk menunaikan solat maghrib/Isya.

Setelah selesai solat, kami dihidangkan dengan nasi hujan panas, kurma ayam dan daging kicap. Kenduri ini juga disponsor oleh kita untuk meraikan orang kampung chepir. Ramai yang juga datang malam tu untuk mendengar ceramah oleh Ustaz Asri yang didatangkan khas dari Penang. Wakil Imam berucap menyatakan kekecewaannya kerana doktor-doktor yang sepatutnya datang membuat pemeriksaan kesihatan orang kampung tidak dapat turut serta. Sebelum Ustaz Asri berucap, saya dipanggil untuk membuat ucapan. Saya sentuh juga ketidakadilan yang berlaku di negara ini, apabila saya menyebut kisah janda anak lapan yang menduduki rumah berdinding kain dan saya mengatakan suatu kehairanan dimana sebuah negara yang mempunyai bangunan yang tertinggi di dunia (sehingga September lepas) kita masih mempunyai mereka yang hidup melarat. Dimanakah perseimbangan kemajuan ekonomi? Saya rasa tok Imam tak senang duduk bila saya berkata demikian, kerana tok imam risau dari mula lagi, dengan kehadiran dua SB. Tok Imam takut hilang jawatan. Inilah apa yang Abu Urwah katakan iaitu menakutkan orang. Dia bertambah takut apabila Ustaz Asri tibai depa yang organize buat rumah terbuka deepavali atas nama perpaduan.

Ustaz Asri tak sempat bermalam di Chepir kerana ada seorang tetamu yang datang dari Syria ada dirumahnya. Tapi Ustaz Asri tertarik dengan usaha kita dan menyatakan dia akan turut serta datang membantu untuk tahun
hadapan.

Kesokan hari, semua ahli KRJ datang menunaikan solat subuh di masjid kecuali akhawat yang bangun awal tapi tak sampai hati mengejutkan bapa angkat. Pakcik-pakcik yang turut serta tidak kelihatan di masjid, rupa-rupanya tertidur kerana bersembang hingga pukul 3 pagi dengan bapa angkat.

Selepas sarapan, kami meneruskan lagi menyalurkan bantuan di kampung-kampung yang berdekatan. Setelah selesai tugas, kami berkelah di Lata Mengkuang, satu tempat peranginan yang terdekat dengan Chepir. Kami dijamu dengan nasi yang dibakar macam bakar lemang dalam buluh (special), dengan ayam kampung bakar, ayam masak lemak, daging bakar, air asam dan sambal. Maka makanlah sepuas-puasnya. Setelah makan, remaja kita tak sabar lagi untuk terjun sungai termasuk pakcik-pakcik yang memakai kain pelikat. Air sejuk sungguh dan deras.

Kami pulang sekitar pukul 3:30 petang, singgah di rumah Pak Long Mat, tuan rumah markaz kami, terima kasih kepada dia dan rakan-rakan lain, Pak Lang Mansor yang cukup pandai mengurut, baguih punya!

Begitulah sedikit pengalaman dua hari di Chepir.

Terima kasih kepada penyumbang-penyumbang, Alhamdulillah telah disempurnakan sumbangan anda, dan Insyaallah, Allah memberkati sumbangan anda yang dapat meringankan sedikit beban mereka yang terdiri golongan faqir miskin.

Terima ksih daun keladi, tahun depan tolong bagi lagi!


----- Original Message -----
From: Roha Hassan

Assalamualaikum wbt....

Sekadar menyambung coretan akh Bakhtiar sebagai perkongsian. Bagi KRJ Pulau Pinang, apabila dipelawa oleh akh Bakhtiar untuk bekerjasama dengan Persatuan Baitun Nur untuk bersama di dalam program ini, kami menganggap ia satu peluang untuk berbakti, menimba pengalaman dan bereakrasi. Terima kasih untuk akh Baktiar dan semua penyumbang.

Manakan tidak di dalam debaran menanti kehadiran Ramadhan, kami dan sekumpulan remaja berpeluang menziarahi saudara seagama yang memerlukan. Berkesempatan berkenalan dan melihat sendiri penderitaan yang mereka alami. Selain dari itu menimba pengalaman bergaul dengan masyarakat kampung yang rata2 hidup dengan menoreh getah, menanam padi (masih secara tradisional), berkebun dan lain-lain "kerja kampung".

Bonus setelah penat masuk kampung keluar kampung, memanjat bukit, melewati batas bendang dan menyusuri sungai ialah menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan di persekitaran serta menjamu selera dengan masakan hasil kampung seperti ikan segar dan ulam-ulaman yang berkhasiat. Kerbau yang "montel-montel", burung bangau yang putih bersih, kehijauan flaura yang menghisi desa, bersulam airmata penerima sumbangan, airmata keinsafan bergenang di mata anak-anak remaja, kanak-kanak berlari ceria dengan muka dan pakaian yang comot, orang-orang tua yang terbaring keseorangan di sudut rumah yang kelam dan usang, ucapan syukur seorang tua yang sudah lama tidak melihat "RM50", rumah-rumah berdinding plastik dan kain atau berlantaikan buluh memberikan banyak pengajaran kepada aktivis dan ahli KRJ Pulau Pinang yang turut serta dalam projek ini.

Semua ini adalah satu tarbiyyah yang berlainan dan istimewa untuk para remaja selain daripada apa diperolehi dengan membaca buku dan menghadiri kuliah. Ia sesuatu yang praktikal di dalam melatih diri menyantuni ahli masyarakat tanpa mengira usia, latarbelakang dan taraf hidup.

Program ini secara umumnya terbahagi kepada 3 bahagian utama:
1. Sumbangan kepada fakir miskin
2. Program keluarga angkat
3. Menikmati keindahan alam di Lata Mengkuang dan seluruh desa

InsyaAllah akan "attach"kan gambar-gambar dan coretan pengalaman para remaja yang turut serta sebagai perkongsian dengan I & A.


Roha Hassan
Pengarah KRJPP
juga SU Penaja Persatuan Baitun Nur

1 comment:

Kasih Harmoni said...

Assalammualaikum, wrt. wbt.

Saya bagi pihak anak-anak dan petugas-petugas Rumah Kasih Harmoni (RKH) mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan Cik/Puan/En Norbani(exacmust_acc@yahoo.com) ,

Semoga ALLAH melipatgandakan rezeki dan diberkatinya. Semoga sumbangan ini akan menjadi satu AMAL TAQWA untuk bekalan cik/pun di hari akhrat kelak. Amin.

Walaubagaimanapun saya ingin juga mendapat kepastian, adakah sumbangan ini ada dikhususkan untuk sebarang niat? Sekiranya ada pengkhususiah sukacita sekiranya cik/puan/tuan dapat memaklumkan kepada saya. Seperkara lagi bolehker saya tahu dari mana dapat maklumat tentang rumah amal kami ini.

Sekian, Wassalam dan terima kasih sekali lagi di atas sumbangan yang dihulurkan.