INSURANS: PERBINCANGAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Segala puji bagi Allah SWT. Selawat serta salam buat Junjungan Mulia Rasulullah SAW, para Ahli Bait dan sekalian para Sahabat RA.
Abstrak:
Dunia globalisasi hari ini menyaksikan perkembangan sistem ekonomi yang amat pesat. Ini kerana kecenderungan manusia ke arah kemajuan merupakan fitrah yang tidak dapat disangkal. Sejajar dengan perkembangan itu, Fiqh Islami menerusi para ulamak dan sarjana Islam telah mengemukakan perbincangan di dalam menentukan halal-haram sesuatu sistem untuk memenuhi kesejahteraan manusia.
Umumnya ekonomi merupakan salah satu dari aspek penting di dalam kehidupan seharian manusia. Justeru melihat contoh: Allah menghalalkan jual-beli dan di dalam masa yang sama mengharamkan riba. Persoalannya mengapa Allah mengharamkan riba? Secara umum sesuatu yang dihalalkan mahupun yang diharamkan oleh Allah SWT ada pengajaran yang tersurat dan hikmah yang tersirat.
Di dalam kertas kerja yang ringkas ini, penulis mengajak para pembaca melihat salah satu sistem ekonomi yang baru bagi susur galur perbahasan Fiqh Islami iaitu mengenai Insurans. Perbahasan di dalam kertas kerja ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:
Bahagian Pertama: Pengenalan Insurans
Bahagian Kedua: Polemik Insurans Menurut Syariat Islam.
BAHAGIAN PERTAMA
Perbahasan pertama: Pengenalan Akad Insurans
Bab pertama: Perkembangan/ Sejarah insurans
Insurans merupakan salah satu bentuk muamalah berteraskan sistem ekonomi yang baru muncul berbanding bentuk-bentuk muamalah yang lain. Di dalam sistem muamalah berteraskan ekonomi terdapat perbincangan khusus di dalam kitab-kitab fekah karangan para fuqaha’ masyhur terdahulu. Perbahasan-perbahasan tersebut mewarnai lembaran-lembaran yang membincangkan tentang perbahasan muamalat secara khusus. Berbanding muamalah yang lain seperti persoalan jual beli, riba’, mudharabah, wakalah, sewa, wakaf, wadi’ah, syarikat, wasiat, nazar dan
sebagainya insurans merupakan perbahasan yang agak nadir dan malah baru diketengahkan dalam qhadiah kontemporari kurun ke 13 hijrah/19 Masihi. Terdapat beberapa pendapat tentang teori kemunculannya.
Sejarah Ringkas Insurans
Manusia secara umumnya sentiasa memikirkan untuk menghindari bahaya. Siapa yang mahu terjebak ke dalam bahaya atau kebinasaan? Islam sendiri menyuruh umatnya tidak menjebakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan. Ini dikuatkan dengan firman Allah di dalam Al-Quran yang bererti:
“…dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan..”
Justeru manusia samada Islam atau bukan Islam mencari inisiatif tersendiri. Ini bertujuan untuk mengelakkan kecederaan, kematian kerugian dan sebagainya. Sekalipun alternatif tersebut hanya memberi manfaat selepas berlakunya sesuatu bahaya itu. Dengan mandapat pampasan terhadap kerugian berbentuk insurans sekurang-kurangnya kerugian yang terpaksa dialami akibat musibah dapat dikurangkan atau diringankan.
Pengkajian ini akan mengemukakan beberapa teori kemunculan insuran yang ditemui sepanjang pengkajian. Barangkali terdapat teori-teori lain yang tidak ditemui untuk dikemukakan di sini, maka tidak dikemukakan.
Teori Pertama Kemunculan Insurans:
Insuran yang paling awal diwujudkan ialah ta’min al-bahr (insuran laut atau dinamakan juga sebagai insuran perkapalan); iaitu jaminan terhadap kapal dan pelayaran lantaran manusia melihat terdapat bahaya dan risiko yang tinggi semasa berada dalam pelayaran di lautan. Ada pendapat yang menyatakan bahawa ianya telah wujud sekitar 1498 M di London. Ini bersandarkan kepada aktiviti perniagaan yang telah berkembang pesat pada zaman tersebut. Para saudagar membawa barangan niaga mereka dari suatu tempat ke tempat yang lain dan kebiasaannya akan menghadapi risiko semasa pelayaran. Insurans jenis ini dilaksanakan dengan peniaga dibayar dengan kadar pampasan tertentu apabila berlaku musibah semasa pelayaran.
Teori Kedua Kemunculan Insurans:
Teori kedua menyatakan ianya telah wujud lebih awal dari itu iaitu sekitar tahun 1182 di Lambordia. Akan tetapi boleh dikatakan bahawa kemunculan di Lambordia itu merupakan titik awal yang menjadi asas kepada teori kemunculannya di London pada 1498 M. Ini kerana kemunculan di London berpunca apabila tersebarnya muamalat insurans sekitar Eropah pada kurun ke 15 M dan dikenal pasti berpunca dari Lambordia. Sa’dy Abu Jaib berpandangan bahawa tiada keraguan di kalangan para pengkaji akan kemunculan pertama insuran adalah di Lambordia dan ianya berkembang ke London, Britain dan negara-negara Eropah yang lain mengikut arus perkembangan perdagangan laut.1
Teori Ketiga Kemunculan Insurans:
Al-Ustaz Muhamad Nur Ghifari di dalam tulisannyanya yang disiarkan di dalam majalah Rabitah Al-‘Alam Islami bilangan Safar 1399H sewaktu membincangkan mengenai insurans turut menyuarakan pandangan bahawa kemunculan insuran di kalangan umat Islam telah ditemui di Andalus. Andalus yang terkenal sebagai sebuah pusat perkembangan Islam yang maju dengan pertumbuhan ilmu dan penghasilan para cendiakawan memungkinkan teori ini sukar disanggah. Sistemnya pula adalah seperti ta’awun dan tabadul. Kemudian sistem ini telah berpindah
ke negara-negara di bawah naungan Khilafah Uthmaniah yang lain sebagaimana yang didakwa oleh Al-Faqih Ibnu Abidin di dalam kitabnya.2 Akan tetapi kebanyakan pengkaji Islam menyimpulkan bahawa kemunculannya di dalam komoniti umat Islam hanya pada kurun ke 19 M. Ini berdalilkan kepada tiada seorang pun di kalangan para fuqaha’ dan ulamak silam yang membicarakan tentang topik ini di dalam perbahasan mereka. Ulamak pertama yang membincangkan tentang persoalan ini ialah Al-Faqih Ibnu Abidin di dalam kitabnya Raddul Muhtar ala Daril Mukhtar. Beliau menegaskan hukum perbahasan yang dinamakan dengan as-saukarah itu sebagai tidak harus di sisi syara’.
Teori-Teori Lain:
Insuran nyawa paling awal telah diperkenalkan di Britain pada tahun 1583 M. Manakala insuran terhadap pengangkutan awam (kenderaan darat) hanya wujud pada kurun ke 20 M. Kewujudan insuran ini sejajar dengan perkembangan pesat perindustrian dan perkilangan yang menghasilkan pelbagai produk-produk berenjin dan bermotor. Pun begitu sebab kemunculannya juga berkaitan risiko-risiko perniagaan dan perindustrian lantas memaksa kemunculan insuran terhadap kemalangan dan kerugian. Kemudian barulah wujud pelbagai bentuk insuran-
insuran yang lain yang pelbagai.
Sebuah Kajian Ibn Ismail al-Azhary
No comments:
Post a Comment