Pencegahan Lebih Diutamakan Daripada Pengubatan
Di dalam bidang perubatan, Islam mengutamakan ‘pencegahan daripada pengubatan’ kerana ia selari dengan sunnah yang diajarkan Nabi Muhammad. Salah satu kaedah fikah yang penting di dalam ilmu Islam ialah, “menghindari kerosakan perlu diutamakan daripada mengambil kemanfaatan”. Berpandukan kaedah ini, setiap perkara yang boleh menyebabkan kerosakan serta kemudaratan diharamkan oleh Islam sejak dari awal-awal lagi. Sebagai contoh, zina boleh mendatangkan masalah kesihatan yang kronik justeru segala perbuatan yang boleh membawa kepada zina, seperti pergaulan bebas, khalwat di antara lelaki dan perempuan dan pendedahan aurat, diharamkan oleh agama. Di dalam konteks yang lebih luas, Islam menyuruh umatnya berdisiplin di dalam hidup kerana ia mampu mencegah daripada pelbagai penyakit. Sebagai contoh, di dalam aspek pemakanan, Nabi Muhammad menggalakkan pemakanan makanan yang berkhasiat melalui sabda Baginda: “Sesiapa yang meminum madu di waktu pagi, tiga kali pada setiap bulan, dia tidak akan menghidap penyakit-penyakit berbahaya.” (Riwayat Ibn Majah)
Di samping itu berlebih-lebihan di dalam aspek makan minum perlu dijauhi kerana ia memberi kesan yang negatif kepada kesihatan. Baginda bersabda: “Tidak ada bekas yang lebih keji daripada perut anak Adam. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya, dan sekiranya dia terpaksa melakukannya juga maka satu pertiga untuk makanannya satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” (Riwayat Tarmuzi, Ahmad, Ibn Majah dan An-Nasai) Kesihatan gigi juga perlu dijaga. Nabi Muhammad bersabda, “Jika tidak menyusahkan umatku, aku ingin menyuruh mereka melambatkan solat isyak dan bersugi gigi setiap kali mereka hendak melak! ukan solat.” (Riwayat Muslim)
Apabila sesuatu wabak menyerang kawasan tertentu, prosedur pencegahan perlu dilakukan agar ia tidak merebak ke kawasan lain. Sebagai contoh, ketika khalifah Omar ibn Khattab ra merancang untuk ke kota Syam, beliau mendapat berita bahawa kota itu diserang oleh wabak taun. Selepas bermesyuarat dengan sahabat-sahabat beliau, mereka bersetuju untuk tidak ke sana sebagai langkah berjaga-jaga. (Riwayat Bukhari)
Antara formula umum yang digunakan oleh Nabi Muhammad di dalam aspek pencegahan seperti yang disebutkan oleh Ibn Qayyim Al-Jauziyah di dalam At-Tib An-Nabawi ialah, “mengurus dan menjaga dengan baik di dalam aspek makan minum, pemakaian, kebersihan tempat tinggal, penjagaan udara dan persekitaran, penjagaan ketika tidur dan bangun, ketika bergerak dan duduk diam, mengurus perkahwinan, mengurus penggunaan masa lapang dan juga penggunaan masa ketika menyendiri dengan ibadah. Apabila kesemua i! ni dapat diseimbangkan dengan mengambil kira kekuatan badan, keadaan persekitaran, masa dan adat kebiasaan, ia sering kali dapat menghasilkan kesihatan dan kesejahteraan yang terbaik.”
(Untuk lebih terperinci sila dapatkan buku Dr. Danial bin Zainal Abidin bertajuk "Perubatan Islam Dan Bukti Sains Moden Edisi Ke-2" terbitan PTS Publication)
No comments:
Post a Comment