Suatu malam di sudut masjid
Sekali Air Bah...
KETIKA melayan kesunyian setelah rakan-rakan sepejabat sudah beranjak pulang dan malam kian larut, terpandang satu emel dari seorang rakan sepengajian yang jauh di perantauan sedang menimba ilmu di Asia Barat. Sudah lama tidak mendapat khabar berita daripadanya- Din al-Qarni.
Ceritanya berkenaan qiamullail. Ia lantas mengajak satu muhasabah betapa agak lama tidak dapat bersama teman-teman seperjuangan melakukan qiamullail dan berzikir munajat sebagai tazkiah al-nufus (pembersihan jiwa).
Terima kasih sahabat kerana mengingatkan. Ini menunjukkan nilai tarbiyah yang disemai oleh halaqah-halaqah dan usrah masih kekal di hati dan minta dijauhkan kita digolongkan sebagai mereka yang tercicir (al-mutasaqitun) dalam jalan dakwah.
Cerita al-Qarni dalam emelnya bahawa dalam diam-diam tiga orang lelaki menemukan diri mereka melewati sepertiga malam terakhir dalam bulan yang suci di sebuah masjid yang sama.
Masjid tempat ketiga-tiga lelaki itu beriktikaf kata al-Qarni, hanya sebuah masjid kecil di kaki gunung yang amat biasa.
Ia tak lekang oleh dingin yang menusuk dan kesepian yang mencengkam.
Ketiga-tiga lelaki itu sendiri sebenarnya masih cukup kuat untuk mengunjungi masjid-masjid lain yang lebih besar, megah dan dipenuhi jamaah tetapi mereka tidak melakukannya.
Kata al-Qarni, masjid itu amat sederhana, yang sebenarnya lebih mewakili ruang dalam diri mereka yang juga amat sederhana, yang sering merasakan pedih tusukan kenyataan seharian yang pahit, sunyi dan sebagaimana adanya.
Kesunyian pun saling menyapa di antara ketiga-tiga lelaki itu. Kesunyian pertama adalah kesunyian seorang pemimpin persatuan yang gelisah mencari rukuknya, ketika didapati isterinya sering membukakan pintu dengan mata berkaca-kaca.
Kesunyian kedua adalah kesunyian seorang anak yang gelisah dalam zikirnya, yang hanya berteman dengan kecamuk batin yang dideritanya sejak lama kerana gagal membahagiakan ibu dan neneknya.
Sedangkan kesunyian ketiga adalah kesunyian seseorang pemuda yang gelisah di hadapan al-Quran yang dibacanya.
Ketika itu ada mawar sedang mekar dalam hatinya sedangkan dia tahu bahawa seharusnya dia mengarahkan cintanya kepada Allah saja.
Tetapi hatinya tidak mampu menepis kehadiran seorang perempuan yang dengan santun telah mengisi kekosongan jiwanya.
``Saya ingat isteri saya,'' kata lelaki pertama,''seorang perempuan yang diamnya menggugat kemampuan saya untuk membahagiakan hatinya, sementara di meja mesyuarat semua orang mampu saya buat mereka bersemangat dan tertawa.
Sementara lelaki kedua pula kata al-Qarni, teringatkan ibunya. Lelaki itu berkata: ``Dia seorang perempuan yang selalu sabar mengasuh dan membesarkan saya hingga saya sampai di sini, mengenal sejadah dan bersujud.
``Tapi kehilangannya betul-betul memukul jiwa saya kerana saya belum pernah jujur menghargainya sebelum pemergiannya.''
Lelaki ketiga pun berkata, ``Dan saya ingat seorang perempuan, yang selalu mengingatkan saya untuk mendekatkan diri kepada Tuhan hingga saya selalu ingin bertemu kerana wajahnya yang sering melewati tidur dan mimpi saya, bahkan hadir dalam jaga!''
Malam itu, tiga orang lelaki itu berbincang tentang diri mereka dalam perasaan yang berlainan tapi semua tentang perempuan- sebagai isteri, ibu dan satu lagi kekasih.
Namun kata al-Qarni ketika sujud-sujud dipanjangkan, ingatan-ingatan itu pun sirna dalam cinta.
Cinta pun membakar dirinya sendiri dalam kesyukuran kepada Sang Pencipta. Tidak ada yang tahu dengan jelas ketinggian perjalanan mereka malam itu dalam menembus langit jiwa masing-masing.
Yang pasti, dinding masjid itu bersaksi, bahawa mereka telah meletakkan perempuan-perempuan yang mereka cintai sebagai tangga yang ditapaki dengan ketakziman berzikir, hanya bagi kesujudan terpenuh kepada-Nya.
Ini sebuah sikap batin yang amat mungkin membuat semesta menyingkapkan puncak cahaya-Nya.
Benarlah kata Ibnu Arabi, kehadiran perempuan itu adalah tajalli keindahan Ilahi di muka bumi.''
Ya memang benar kadangkala perempuan di sekeliling sering menjadi ujian bagi kita lelaki- isteri yang mungkin membuat kita terlalai, bekas kekasih yang mungkin buat hati menjadi rawan dan gadis jelita yang buat kita tergoda.
Tetapi kalau cinta kepada wanita itu dihala kepada cinta Allah, maka sudah tentu begitu hebat kesannya.
Oh... alangkah hebatnya kuasa seorang wanita. Di satu sisi ia diibaratkan hiasan dunia tapi di satu sisi lain ia mampu menjulang keimanan. Bagaimana caranya?
Ingatlah pada pesanan Allah dalam Surah al-Nur ayat 31, supaya kita lelaki mukmin agar menundukkan pandangan dan jagalah kemaluan.
Kalau tidak tunduk maknanya pandangan kita boleh meliar malah mungkin bercampur nafsu. Di kala itu kembalilah kepada kalimah Allah yang satu dan beristighfar memohon keampunan.
Malah kita tidak memandang kecuali dengan penglihatan keimanan. Apa yang penting, keindahan dunia itu tidak akan membuatkan kita lupa pada cinta Tuhan yang hanya akan ditemui setelah mengenal makrifah-Nya.
Kalau tidak, kita hanya mensia-siakan penglihatan yang dianugerahkan Allah. Kalau dengan ada pandangan kita tidak mampu menjumpai cinta Allah, maka adalah lebih baik mereka yang buta penglihatannya tapi mampu mengenal Allah dengan mata hatinya.
-- LELA MANJA :: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment