Oleh Hasliza Hassan
KEHEBATAN Abu Jafar Muhammad ibn al-Hasan Khazin atau Al-Khazin dalam bidang matematik, astronomi, fizik, statik dan mekanik membolehkan beliau mempelopori teori graviti ilmu fizik.
Menurut Al-Khazin, apabila sesuatu objek itu jatuh, ia akan mengarah ke bumi kerana daya tarikan yang kuat di pusat bumi.
Daya tarikan itu kemudian dirumuskan semula oleh ilmuwan Barat seperti Galileo dan Newton selepas beratus tahun berlalu.
Al-Khazin juga mendahului pengkajian ke atas masalah tekanan udara dan penciptaan barometer air raksa untuk mengukur tekanan udara. Ia kemudian dirumuskan semula oleh seorang berbangsa Itali bernama Torricelli yang terkenal pada zaman kebangkitan Eropah.
Bagaimanapun, zaman kebangkitan itu bermula hanya pada abad ke-14 hingga 16 dan Torricelli sendiri dilahirkan pada 1608 Masihi. Ini membuktikan rumusan itu ditemui Al-Khazin beratus tahun sebelum itu.
Al-Khazin sebenarnya membuka banyak jalan bagi ilmuwan Barat dalam usaha membuat kajian mengenai tekanan udara sehingga mereka berjaya menghasilkan barometer untuk mengukur tekanan udara serta jangka suhu pengukur haba.
Kejayaan besar Al-Khazin adalah penemuan cara mengira kedudukan bintang sesuai dengan garisan lintang kota Marwan pada 1116 Masihi, seterusnya menghasilkan garisan lintang yang digambarkan dalam peta dunia sebagai garisan Khatulistiwa.
Berdasarkan penemuan itu, setiap garisan mempunyai nilai satu darjah, iaitu kira-kira 111 kilometer.
Beliau juga menemui garisan bujur atau garisan zawal iaitu garisan yang merentang di antara dua kutub. Garisan ini bertemu dengan garisan lintang.
Setiap garisan bujur mempunyai nilai satu darjah sementara garisan zawal sifar darjah melintasi kota Greenwich berhampiran London.
Menggunakan garisan lintang, jarak jauh sesuatu tempat di utara atau selatan boleh diukur dan menerusi garisan Khatulistiwa pula dapat diketahui darjah selain mengetahui suhu udara.
Sementara garisan bujur membolehkan kita mengetahui jarak sesuatu tempat sama ada di timur dari garisan Greenwich serta mengetahui perbezaan masa.
Al-Khazin juga menghasilkan kitab pertama dalam ilmu tabii bertajuk Mizan Al-Hikmah (Timbangan Hikmat), mengandungi kajian dan penelitian mengenai timbangan yang mengemukakan teori bahawa udara mempunyai berat dan tekanan.
Timbangan yang mempunyai lima tapak tangan bergerak di atas tangkai seperti dacing yang membolehkan kita mengukur ketumpatan dan isi padu sesuatu objek. Kitab itu kemudiannya diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.
PROFIL
NAMA: Abu Al-Fatah Abdul Rahman Al-Mansur Al-Khazini
GELARAN: Al-Khazin
TAHUN LAHIR: Sekitar 900 Masihi
MENINGGAL DUNIA: 971 Masihi
SUMBANGAN: Mencipta alat sukat berat sesuatu jisim di udara dan air.
No comments:
Post a Comment