Monday, December 19, 2005

RM95b Urus Sisa Pepejal

Oleh Nor Liza Ahmad

DENGAN kadar purata bahan buangan sisa 0.8 kilogram seorang sehari di Malaysia ketika ini, perkhidmatan pengurusan bahan itu menjadi antara bidang yang menyediakan potensi perniagaan yang besar.

Mengikut United Nations Centre for Human Settlements, kerajaan tempatan di Asia membelanjakan AS$25 bilion (RM95 bilion) untuk pengurusan pembuangan sisa pepejal setahun, dengan 50 peratus hingga 80 peratus dibelanjakan negara berpendapatan sederhana untuk pemungutan sampah.

Di Malaysia, 50 peratus bajet operasi majlis perbandaran dibelanjakan untuk tujuan berkenaan dengan 70 peratus adalah untuk pemungutan sampah.

Kerajaan Persekutuan dalam Bajet 2006 pula memperuntukkan RM363 juta bagi program pengurusan sisa pepejal.

Mengikut perangkaan terkini Jabatan Perangkaan, Malaysia kini mempunyai penduduk berjumlah 26.38 juta orang.

Berdasarkan bilangan itu, jumlah bahan buangan di negara ini sehari adalah 21,104 tan sehari atau 7.6 juta tan setahun.

Bagaimanapun di sebalik menggambarkan potensi perniagaan bagi peniaga, angka itu adalah sesuatu yang perlu menjadi perhatian kerajaan kerana ia bukan saja meningkatkan perbelanjaan sejajar pertumbuhan penduduk.

?Malaysia perlu mengurangkan dengan segera kadar buangan sisa dan menambah prasarana bagi pengurusan buangan sisa bagi menampung pertambahan penduduk,? kata Pengerusi CyEnResources Sdn Bhd, Tan Sri Razali Ismail.

CyEn Resources adalah sebuah syarikat Malaysia dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam pengendalian isu kritikal alam sekitar dan menyediakan perkhidmatan lengkap dan profesional.

Anak syarikatnya CyWaste Sdn Bhd mempunyai kepakaran dalam pengurusan dan penyelesaian bahan buangan.

CyEn Resources memiliki pejabat sekutu di Singapura, Hong Kong, Bangkok dan Doha.

Razali berkata, mengikut perangkaan, purata buangan sisa isi rumah di Malaysia ketika ini adalah 0.8 kilogram setiap orang sehari, tetapi purata bagi kawasan bandar adalah lebih tinggi, iaitu 1.5 kilogram di Kuala Lumpur, Pulau Pinang (1.2 kilogram) dan Ipoh (satu kilogram).

?Kira-kira 70 peratus daripada jumlah keseluruhan bahan buangan adalah dari Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu dan Kelantan,? katanya.

Justeru, beliau menegaskan, Malaysia dan negara sedang membangun akan menghadapi masalah pengurusan bahan buangan melainkan tindakan segera diambil untuk meningkatkan sistem dan mendapatkan penyertaan orang ramai mengenai pengurusan bahan buang yang moden.

Namun, katanya cabaran utama yang dihadapi industri pengurusan bahan buangan adalah kekurangan pakar dalam bidang pengurusan bahan buangan, peruntukan undang-undang dan sumber menyebabkan liputan pungutan yang rendah.

No comments: