Novel bersiri: Salju Sakinah (SIRI 119)
Oleh Zaid Akhtar
NAUFAL mengucap salam. Sumayyah juga mengujar salam. Kemudian lelaki yang dikasihi itu membaca doa dalam suara yang mendatar. Dia mengaminkan dalam ralit mendengar hajat-hajat murni yang dirafakkan oleh suaminya. Usai doa, Naufal berpaling dan menghulurkan tangannya. Sumayyah mencium jemari yang hangat itu. Terasa air matanya yang tumpah pagi tadi mahu meluru keluar sekali lagi.
"Sumayyah, terima kasih kerana menerima cinta Abang."
Sumayyah menguntum senyuman paling manis buat suaminya. Ini kali kedua dia mengucup tangan Naufal sejak mereka diijabkabulkan beberapa jam yang lalu.
Mata bertentang mata. Lama. Kata-kata sirna entah ke mana. Debar kekal memalu dada.
"Abang berdoa moga kita berdua dianugerahkan keluarga yang sakinah dan bahagia serta dikurniakan anak-anak yang soleh."
"Insya-Allah, Bang. Ameen!"
"Jom, kita bersiap. Walaupun sejuk, tak elok berkurung lama-lama." Naufal tersenyum mengusik. "Tetamu ramai lagi di luar. Nanti apa pula orang kata."
Salju masih gugur di luar. Dingin makin menggigit. Tetapi suhu di dalam kamar pengantin tetap hangat. Mereka bangkit dan berpakaian lengkap semula untuk keluar melayan tetamu. Naufal berbaju Melayu satin hijau lembut lengkap dengan sampin corak penuh berbenang emas. Sementara dia mengenakan jubah moden potongan ringkas daripada fabrik sutera Turki berwarna hijau lembut yang digandingkan dengan tudung sifon sedondon dengan jubahnya.
Menyentuh
Sama-sama tersenyum memandang cermin besar, Sumayyah menyentuh tangan kiri suaminya. Naufal gesit mencapai jejarinya yang sebelah lagi, memetia cincin emas yang tersarung pada jari manis Sumayyah. Berdiri di sisi suami, dalam keadaan begini, wanita manakah yang tidak bangga?
"Abang rehatlah kalau rasa penat. Abang tak sihat betul lagi. Jangan angkat hidangan yang berat-berat." Sempat dia menjeling sekilas ke arah katil pengantin yang turut dihias dengan cadar hijau lembut lengkap bersulam dan berenda-renda. "Kawan-kawan ramai yang boleh bantu."
"Jangan risau. Abang dah sihat. Walaupun tangan kiri dah patah, dah cacat, tapi Abang rasa sempurna semula bila Sumayyah di sisi," bisik Naufal di telinganya.
Hati wanitanya tambah tersentuh apabila Naufal menyentuh kedua-dua bahunya.
"Sumayyah tahu, sebenarnya ada seseorang yang lebih dahulu memperkenalkan Abang kepada Sumayyah sebelum Hakimi dan Hakimah? Dialah yang beriya-iya meminta Abang melamar Sumayyah."
"Siapa?" Istifham menyendati mindanya. Barangkali banyak lagi misteri yang aku tidak tahu!
"Rahsia." Naufal meletakkan jari telunjuk ke bibirnya. "Sumayyah akan tahu juga. Insya-Allah, mereka datang lewat petang nanti."
Mereka beriringan keluar ke ruang tamu. Tetamu yang bertandang masih ramai. Hidangan nasi beriani bergulaikan biri-biri terus beredar. Jawatankuasa kecil yang telah dibentuk oleh Lutfi untuk menguruskan majlis itu bekerja keras memastikan segalanya berjalan lancar.
Melangkah
Naufal melangkah ke pintu rumah barunya yang ? dinamakan Bait Sakinah ? untuk bersama Hakimi dan Baihaqi menyambut tetamu lelaki yang sampai. Beberapa teman yang baru tiba menerpa untuk mengucapkan tahniah. Sementara Sumayyah bergegas ke Bait Ainul Mardhiah di sebelah yang menjadi tempat untuk golongan muslimat menjamu selera dan bertemu pengantin. Pastinya Hakimah dan Marianis tidak duduk diam melayan tetamu yang begitu ramai datang meskipun suhu di bawah paras sifar.
Salji yang turun pertama kali di Irbid sejak tiga tahun lalu gugur berterusan di luar. Ia nampak semakin lebat malah diberitakan akan berlanjutan sehari dua. Khabarnya di Ajloon, Amman dan Mu'tah tebalnya melebihi satu kaki. Kesemua rombongan pelajar dari Mu'tah yang mahu menghadiri walimah mereka tersekat dan terpaksa membatalkan perjalanan. Namun para pegawai di kedutaan yang diundang oleh PERMAYA tetap hadir bersama keluarga masing-masing.
Jauh di teras hatinya melaung syukur. Biarpun cuaca buruk, segalanya berjalan dengan lancar.
"Ha, itu pun pengantin salji dah datang!" Suara Fatihah lebih dahulu menyambutnya di pintu. "Mai, ni ramai tetamu dari Aly al-Bayt nak jumpa kau. Mereka nak minta tempias salji kau kot."
Kata-kata itu disambut dengan hilaian ketawa oleh siswi yang sedang menjamu selera di ruang tamu. Kebanyakannya dari Mafraq dan Irbid. Yang tinggal di Amman sudah bergegas pulang sebelum Zuhur tadi tegal bimbang perjalanan mereka tersekat akibat salji tebal.
Sumayyah tersenyum mendengar usikan itu. Sejak subuh lagi gelaran 'pengantin salji' sudah kedengaran apabila mereka mendapati bumi sudah memutih dilitupi ais putih yang seperti dikisar halus.
"Biarlah orang kata kita pengantin salji. Kan salji ni lambang cinta suci." Terngiang jawapan Naufal tadi.
Sementara teman-temannya yang bertungkus-lumus sejak pagi menunaikan fardu Zuhur, dia sendiri bergerak ke sana ke mari untuk melayan tetamu yang bagai tidak putus-putus.
Persembahan
Tepat pukul tiga petang, para tetamu yang masih tinggal dihiburkan dengan alunan nasyid daripada kumpulan Usrah al-Firdaus. Walaupun persembahan diadakan di ruang tamu Bait Sakinah yang sudah dihias indah, namun dengan penggunaan kamera digital, para siswi tetap berpeluang menikmati hiburan alternatif Islam itu menerusi skrin televisyen di Bait Ainul Mardhiah.
Persembahan tamam sejam kemudian. Tetamu mulai surut. Lantas Sumayyah menyingsing lengan ke dapur membantu teman-teman yang sibuk membasuh talam, periuk, pinggan-mangkuk, dan barang-barang yang telah digunakan. Kepenatan bagai tidak terasa lantaran diusir kegembiraan yang sendat memadati jiwa.
Hampir selesai tugas di dapur, dia terpaksa berundur apabila Hakimah memberitahu yang Naufal memanggilnya di sebelah. Ruang tamu Bait Ainul Mardhiah lengang. Hanya Fatihah, Marianis Rahayu dan Raihanah sedang bersandar melepaskan lelah.
"Amboi, cepatnya cik Abang dah panggil!" Fatihah tidak melepaskan peluang mengusik yang disusuli kekehan ketawa teman-teman.
Sumayyah tersenyum tetapi tidak melayan. Lekas kembali ke Bait Sakinah milik mereka yang sudah lengang. Siapa pula yang datang kala hari sudah lewat petang dan tetamu lain telah pulang?
Sebaik tiba di pintu rumahnya, dia melihat sepasang suami isteri berbangsa Arab sedang rancak berbual dengan Naufal di ruang tamu. Masing-masing menoleh ke arahnya. Dia memandang tetamu mereka.
Profesor Abu Harith!
Segera dia menyalami tangan isteri pensyarah kesayangannya yang memakai purdah dan berjubah hitam labuh sebelum saling bertukar ciuman mesra di pipi.
"Mabruk, ya Sumayyah!" ucap Prof. Abu Harith dan isterinya beberapa kali, manakala dia semacam terpinga-pinga didatangi tetamu yang sangat dihormati itu.
"Inilah orangnya yang Abang katakan tadi," kata Naufal tatkala masuk ke dapur untuk membantu Sumayyah membawa hidangan ke depan. "Dialah yang bersungguh-sungguh menyuruh Abang memilih Sumayyah."
Sumayyah ternganga bagaikan tidak percaya.
Profesor?
"Mengapa? Sumayyah tak percaya?" tanya Naufal. "Abang tahu dia dah macam bapa bagi Sumayyah. Dan Abang yakin pilihan Abang tepat kerana dia melihat Sumayyah dari mata hatinya. Percaya atau tidak, doa seorang ulama sudah dimakbulkan. Suka atau tidak, seorang Sumayyah sudah menjadi isteri Naufal."
Sumayyah tidak mampu menampung air mata gembiranya. Kolam matanya pecah sekali lagi.
Tuhan, sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Berkuasa mengatur semuanya!
(Bersambung)
No comments:
Post a Comment