Thursday, December 29, 2005

`Saya tidak terbabit keputusan Proton jual MV Agusta'

PUTRAJAYA 28 Dis. - Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegaskan beliau tidak terbabit dengan keputusan Proton Holdings Bhd. menjual syarikat motosikal Itali, MV Agusta Motor S.p.A (MV Agusta).

``Saya tidak dimaklumkan atau ditanya mengenai keputusan Lembaga Pengarah Proton untuk menjual MV Agusta dengan harga RM4.50,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu yang bertanggungjawab membangunkan projek kereta nasional sejak tahun 80-an, berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terbaru Proton.

Semalam, Proton mengumumkan kepada Bursa Malaysia mengenai penjualan anak syarikatnya, MV Agusta yang dibeli dengan harga 70 juta Euro (RM315 juta) lebih setahun lalu, pada harga 1 Euro (RM4.50) sahaja.

Pegangan semua saham sebanyak 57.75 peratus dalam syarikat motosikal Itali itu dilupuskan secara tunai kepada sebuah syarikat pelaburan negara tersebut, Gevi S.p.A, menerusi satu perjanjian pembelian dan pelaburan yang dimeterai oleh Proton menerusi Proton Capital Sdn. Bhd. (PCSB).

Menurut Proton, penjualan MV Agusta, yang disifatkan sebagai penyebab utama pengeluar kereta kebangsaan itu mengalami kerugian, akan membolehkannya melepaskan diri daripada semua hutang dan beban yang ditanggung oleh syarikat Itali itu.

Saham Proton mencatat harga RM6.30 sesaham, menokok 15 sen ketika dagangan Bursa Malaysia ditutup hari ini.

Seorang penganalisis ketika dihubungi berkata, langkah Proton itu mungkin ada kebaikannya walaupun dari segi pelaburan, prestasi MV Agusta tidak wajar dinilai dalam tempoh kurang setahun selepas pengambilalihannya.

``Mana ada pengambilalihan yang boleh membawa pulangan dalam tempoh 12 bulan sahaja?

``Apa yang jelas ialah sebaik sahaja pengurusan Proton ditukar pada Julai lalu, pengurusan baru dengan pantas melupuskan pemilikannya dalam MV Agusta,'' ujarnya.

No comments: