Monday, December 19, 2005

Workaholic Meter

Apakah itu seorang pemabuk kerja/workaholic?

Seorang yang mabuk tidak dapat berfikir dengan sempurna, hilang keupayaan rasionalnya.

Adakah anda seorang workaholic? Bagaimana benchmark bagi workaholic-meter?

"wa la taqrabu as-solaata wa antum sukara"

"dan jangan kamu mendekati solat ketikamana kamu berada dalam keadaan mabuk"

Mabuk dunia dan mabuk harta itu lebih merbahaya dari kemabukan kepada arak. Kerana mabuk kepada arak itu kesannya cuma beberapa jam, tetapi kesan mabuk dunia/kerja kesannya mungkin ke akhir hayat.

Allahummarhamna.

Pada zaman al-habib rasulullah s.a.w., ada seorang sahabat yang hidupnya begitu melarat dengan kemiskinan.

Sehinggakan usai sahaja solat berjemaah terus ia pulang ke rumah.

Kenapa? Kerana atas kesempitan hidup, si suami itu berkongsi pakaian solat bersama si isteri. Jika beliau tidak kembali ke rumah maka si isteri tidak dapat menutup keseluruhan auratnya dengan pakaiannya sendiri. Maka, bagaimana isterinya mahu menunaikan solat?

Tidak tertahan dengan kemiskinan yang membelenggu dirinya serta keluarganya, maka berjumpalah dia dengan Nabi s.a.w. Dipintanya kepada Nabi s.a.w. agar mendoakan keluarganya menjadi kaya. Nabi s.a.w. berpesan kepadanya agar bersabar. Maka, pulanglah ia berbekalkan kesabaran.

Hari demi hari berlalu, dan sekali lagi sang sahabat r.a. tadi tidak tertanggung dengan beban kemiskinan yang menimpanya. Maka sekali lagi dirayu kepada Nabi s.a.w agar mendoakannya agar menjadi kaya. Dan sekali lagi permintaannya ditolak.

Akhirnya setelah dipujuk rayu buat kali keberapanya, maka permintaan sahabat tadi diperkenan oleh baginda a.s. Tangan mulia baginda ditadah ke langit seraya berdoa kepada Yang Empunya segala kekayaan. Diberikan kepada sahabat r.a. tadi seekor binatang peliharaan. Berkat doa baginda s.a.w. dengan izin Allah s.w.t. binatang tersebut beranak dan membiak dengan pantas. Beliau seperti memperolehi bonus durian runtuh.

Pada peringkat awal, sahabat tersebut yang baru mengenal 'kemanisan' hidup mewah, masih berusaha keras untuk solat berjemaah di masjid walaupun binatang ternakannya semakin banyak. Namun zikir sesudah solat masih tidak dapat ia berikan hak yang sewajarnya. Tapi kini bukan kerana kesempitan hidup tapi kerana banyaknya urusan yang perlu beliau selesaikan untuk menjaga perniagaan binatang ternakan beliau.

Masa terus berjalan, dan lama-kelamaan solat berjemaah beliau semakin tidak konsisten seiring dengan banyaknya kerja yang terpaksa beliau habiskan masanya. Perniagaan beliau terus berkembang pesat dan akhirnya solat jemaah beliau tergadai. Bukan beliau tidak mahu bersolat jemaah, tetapi urusan pekerjaan yang memaksanya berbuat demikian.

Hari berganti minggu dan minggu berganti bulan, kini hanya solat jumaat sahaja yang mampu dihadiri oleh sahabat tersebut. Akhirnya solat jumaat beliau juga terkorban.

Kini genaplah setahun. Saat mengutip wang zakat pula tiba. Entah kenapa perasaan tamak haloba dan cintakan harta memabukkan hatinya. Perasannya dirasuk dengan merasakan dirinyalah punca kesuksesan kerjaya dan perniagaannya. Atribusi dan ingatan kepada Tuhan sudah dikalahkan dengan kemabukan kerja  atau workaholic. Beliau enggan membayar zakat. Alasannya wang tersebut adalah hasil usahanya sendiri dan tiada siapa yang membantunya untuk sampai ke puncak kejayaan yang sedang dikecapinya.

"fa toola 'alayhimul amad, fa qasat qulubuhum"

"maka berlalulah ke atas mereka satu tempoh masa, maka keraslah hati mereka"

Lama ia mabuk dengan harta. Lama juga ia mabuk dengan kerja. Ketagihan ini lebih kronik dari arak. Arak apabila diminum hilang hausnya, ini dengan harta semakin diteguk nikmatnya semakin dahaga ia. Sekali dapat, pasti nak lagi. Sehingga menjilat jari.

Dia telah terlalai dan tersesat. Mampukah ia hilangkan ketagihannya?

Entah kenapa, hidayah Allah bersinar kembali. Masih ada yang sayang.

Pada saat ia tersedar dari bisikan syaitan, lantas ia insaf. Berlari ia berjumpa dengan Rasul s.a.w. untuk menghantar zakat.

Namun segala-galanya telah berakhir. Ujian telah selesai. Masa telah tamat. Dan sahabat tersebut gagal ujian workaholic yang ia sendiri undang. Akhirnya menjilat jari bertukar kepada menggigit jari. Tempoh penerimaan zakat telah habis, dan hartanya enggan diambil Rasulullah s.a.w. sebagai zakat. Tindakan Rasul s.a.w. telah memberikan impak yang mendalam kepada khalifah-khalifah selepas baginda. Mereka juga tidak mahu menerima zakat sahabat tersebut.

Menyesallah Tsa'labah. Penyesalan yang tiada bererti kerana tempoh masa bagi ujian sudah berakhir.

Itulah kisah Tsa'labah si workaholic.

 

WORKAHOLIC METER

1. Tahap kelalaian permulaan: Tidak lagi meletakkan masa untuk berzikir sesudah solat.

2. Tahap workaholic standard: Tidak konsisten dalam mengerjakan solat berjemaah.

3. Tahap workaholic kronik: Hanya menunaikan solat Jumaat secara berjemaah.

4. Tahap workaholic nazak: Solat berjemaah menjadi korban.

5. Tahap workaholic maut: Tidak menunaikan zakat.

 

Adakah saya seorang workaholic?

No comments: