Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
KUALA LUMPUR 20 Dis. - Pembelian tiga buah lukisan bernilai RM1.55 juta untuk menghiasi pejabat Pengerusi Malaysia Airlines System Berhad (MAS) merupakan perbelanjaan semasa, bertujuan menjaga taraf premis tersebut.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata, MAS perlu membuat perbelanjaan dari semasa ke semasa untuk menjaga imej korporatnya.
Mengenai pembayaran gaji sebanyak RM7,525 sehari kepada warga asing Chris Andrews yang berkhidmat sebagai Pengurus Kanan MAS, Tengku Azlan berkata:
``Ia sama dengan bayaran gaji untuk pengurus-pengurus kanan lain dari segi pakej dan statusnya.''
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2006 pada Sidang Dewan Negara, hari ini. Soalan asal itu dibangkitkan oleh Senator Datuk Syed Ali Alhabshee semasa perbahasan Bajet 2006 Rabu lalu.
Tengku Azlan bagaimanapun enggan menjawab soalan Senator Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang mencelah meminta penjelasan kerana tidak puas hati dengan jawapan mengenai pembelian lukisan yang mencecah jutaan ringgit itu.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh ketika menjelaskan perkara itu berkata, mereka yang mewakili kerajaan boleh memilih untuk menjawab soalan yang dikemukakan secara berhemah, berhelah dan tidak menjawab langsung.
``Saya tidak mengendalikan proses soal siasat kerana ini adalah perbahasan, jadi tidak perlulah khuatir untuk menjawab setiap soalan seperti dalam peperiksaan.
``Telus atau tidak telus jawapan yang hendak diberikan terpulanglah kepada pemerintah,'' katanya.
Tengku Azlan berkata, anggota-anggota Dewan Negara yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang beliau berikan boleh bertanya terus kepada Pengerusi MAS, Datuk Munir Majid dan Pengarah Urusannya, Idris Jala pada pertemuan malam ini.
Para senator malam ini diberi taklimat oleh Munir dan Idris mengenai isu pembaziran itu.
Katanya, sebuah lembaga penyiasat bagi menyiasat kerugian MAS tidak perlu ditubuhkan kerana kerugian yang dialami bukan berpunca daripada operasi domestik MAS tetapi penyelewengan yang berlaku dalam syarikat itu.
``Segala permasalahan yang berlaku akan dikaji oleh Pengarah Urusan yang baru. Oleh itu, berilah beliau masa untuk memperbaiki semua kesilapan yang dilakukan pada masa lalu,'' katanya.
Sementara itu, Tengku Azlan ketika ditanya di lobi Parlimen mengenai pembelian lukisan berharga RM1.55 juta untuk menjaga imej MAS hanya menjawab: ``Tanyalah pengurusan MAS.''
Selain itu, katanya, pelantikan Eksekutif Kanan British Airways Peter Reads sebagai Pengarah Operasi MAS diumumkan oleh Pengarah Urusan MAS Idris Jala, dan menurutnya Idris sendiri akan membentangkan maklumat berhubung penarafan MAS pada bulan Februari tahun depan.
No comments:
Post a Comment